PYONGYANG: Korea Utara menjemput pemain golf antarabangsa menyertai kejohanan yang akan diadakan di Pyongyang pada musim luruh tahun ini.
Menurut pakar, jemputan itu memberi petanda kemungkinan negara tertutup itu dibuka semula kepada pelawat asing selepas pegawai China dan Russia menghadiri perarakan tentera bulan lalu.
Negara itu mengenakan sekatan ketat Covid-19 sejak awal 2020, tetapi terdapat tanda-tanda Pyongyang mungkin menjadi lebih fleksibel dalam kawalan sempadan.
“Lapangan Golf Pyongyang menganjurkan pertandingan pemain golf amatur pada musim bunga dan musim luruh setiap tahun.
“Pemain amatur asing juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang diadakan pada musim bunga dan musim luruh di negara kami dan menjalin persahabatan dengan pemain golf amatur Korea Utara,” jelas laman web rasmi Jelajah Korea Utara.
Catatan di laman web itu turut menyatakan alamat emel dan nombor telefon syarikat golf di bawah pentadbiran rasmi pelancongan Pyongyang tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar kejohanan itu akan berlangsung.
Dalam kenyataan berasingan, Pyongyang berkata, agensinya dibawah Syarikat Pelancongan Golf Ryomyong membangunkan tarikan menarik termasuk padang golf bawah air, padang memanah dan bot rekreasi.
Siaran itu dikongsi selepas Beijing mengesahkan pada Julai lalu bahawa Korea Utara sudah mendaftar untuk Sukan Asia tahun ini yang akan diadakan di bandar Hangzhou di China bulan depan.
Korea Utara sebelum ini mendaftar untuk acara sukan di luar negara tetapi kemudiannya gagal menghantar atlet.-AFP