PYONGYANG: Korea Utara mendakwa tentera Amerika Syarikat (AS), Travis King mengaku menyeberangi sempadan negara tanpa kebenaran, dengan niat mahu mendapatkan perlindungan.
Lapor KCNA, King bertindak demikian kerana dianiaya, dilayan tanpa perikemanusiaan dan menjadi mangsa diskriminasi kaum dalam tentera AS.
Ia merupakan kenyataan umum pertama dikeluarkan Pyongyang mengenai King yang merentas sempadan dari Korea Selatan pada 17 Julai lalu.
Anggota tentera AS itu dikatakan dalam lawatan ke zon kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak antara Korea Utara dan Korea Selatan, sebelum melarikan diri ke Pyongyang.
Pegawai AS percaya King melakukan perbuatan itu secara sengaja.
Malah, jelas KCNA, pasukan penyiasat Korea Utara juga kini memutuskan bahawa King merentas sempadan secara sengaja dan haram, dengan niat untuk tinggal di sini atau negara ketiga.
“Semasa penyiasatan, King mengaku dia datang ke Korea Utara kerana mengalami penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan dan diskriminasi kaum dalam tentera AS.
“Dia juga menyatakan kesediaannya untuk memohon perlindungan di Korea Utara atau negara ketiga setelah kecewa dengan layanan masyarakat AS yang tidak sama rata,” jelas laporan itu.
Dilaporkan, King, 23, merupakan Tentera Persendirian Kelas 2.
King sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama dua bulan di Korea Selatan atas tuduhan melakukan serangan.
Bulan lalu, King ketika dalam proses untuk dihantar pulang ke negara asal, berjaya melarikan diri dengan menyertai rombongan pelancong ke kampung sempadan Korea, Panmunjom.
Seorang saksi dalam rombongan lawatan sama memberitahu CBS News bahawa King ketawa dengan kuat sebelum berlari antara beberapa bangunan dan tidak kembali semula. – AGENSI