MOSCOW: Seorang penganalisis politik di Russia mendakwa ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin masih hidup dan hanya `individu penyamaran’ yang terbunuh dalam nahas pesawat minggu lalu.
Lapor Daily Mail, Dr. Valery Solovey mendakwa Prigozhin ketika ini `masih hidup, sihat dan bebas’ berada di sebuah negara yang tidak diketahui.
Malah, katanya, perkara itu ternyata benar apabila Presiden Russia, Vladimir Putin enggan menghadiri upacara pengebumian ketua kumpulan tentera upahan.
Solovey mendakwa Prigozhin berjaya melepaskan diri daripada nahas pesawat yang `disasarkan’ terhadapnya.
Malah, bekas profesor dari Institut Perhubungan Antarabangsa Moscow (MGIMO) turut mendakwa Prigozhin kini merancang untuk membalas dendam.
Solovey menuduh pihak berkuasa Russia berbohong mengenai penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) Prigozhin di lokasi nahas di wilayah Tver.
Dakwanya, pihak berkuasa Russia menyedari cubaan untuk membunuh Prigozhin sudah gagal kerana `individu penyamaran’ ketua Wagner itu menaiki pesawat tersebut bagi menggantikan tempatnya.
“Pesawat yang mana Prigozhin sepatutnya menaikinya, ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Russia.
“Letupan tidak berlaku di dalam kapal sepertimana didakwa, ia ditembak jatuh dari luar.
“Operasi rahsia untuk melakukan serangan ini sudah pun dirancang oleh Majlis Keselamatan dan dipersetujui secara peribadi pemimpin tertinggi itu.
“Prigozhin kini masih hidup, sihat dan bebas. Dia tidak berada dalam pesawat itu sebaliknya penggantinya. Malah, Putin turut menyedari perkara tersebut,” dakwanya.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan Prigozhin berada di dalam sebuah pesawat yang terhempas di utara Moscow, tanpa ada mangsa yang terselamat.