Kes rasuah libatkan anggota tentera cetus perdebatan

Kes rasuah libatkan anggota tentera cetus perdebatan

BANGUNAN KPK di Jakarta.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penganalisis dan aktivis Indonesia mengecam tindakan suruhanjaya antirasuah negara itu menyerahkan kes berprofil tinggi membabitkan dua pegawai kanan tentera kepada angkatan polis tentera di negara itu.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kelonggaran yang ditunjukkan terhadap kedua-dua suspek berikutan dakwaan proses undang-undang yang tidak jelas di dalam angkatan tentera.

Tindakan itu turut memperhebat gesaan agar Presiden, Joko Widodo berhenti melantik pegawai tentera yang masih aktif untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Kerajaan mesti menilai kehadiran pegawai tentera yang aktif dalam beberapa institusi awam kerana ia hanya akan mewujudkan kontroversi undang-undang apabila jenayah melibatkan mereka berlaku,” kata Pengarah Kumpulan Advokasi Hak Asasi Manusia Imparsial, Gufron Mabruri kepada CNA.

Kontroversi tercetus berikutan langkah Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) untuk mendakwa Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Negara (Basarnas), Henri Alfiandi berhubung kes rasuah berjumlah 88 bilion rupiah RM26.25 juta) bersama Penyelaras Kakitangan Pentadbiran Basarnas, Afri Budi Cahyanto.

Kedua-duanya merupakan anggota aktif Tentera Udara Indonesia di mana Henri adalah marshal udara berpangkat setaraf dengan leftenan jeneral manakala Afri ialah seorang leftenan kolonel.

Menurut KPK, tiga lagi suspek  adalah kontraktor awam yang diberikan kontrak oleh Basarnas sejak 2021 untuk membekalkan peranti mengesan lokasi mangsa terselamat yang terperangkap di bawah runtuhan.

Keputusan suruhanjaya untuk mendakwa Henri dan Afri mendapat kritikan daripada angkatan tentera yang menegaskan bahawa KPK melampaui bidang kuasa mereka dengan membuat pertuduhan jenayah terhadap pegawai tentera yang masih aktif.

Pada Jumaat lalu, KPK bersetuju menyerahkan kes terhadap Henri dan Afri kepada polis tentera dan memaklumkan hanya akan menumpukan kepada tiga kontraktor awam yang disyaki memberikan wang rasuah kepada dua pegawai itu.

KPK turut mengeluarkan permohonan maaf kepada pihak tentera atas tuduhan rasuah terhadap dua pegawai berkenaan dan media tempatan melaporkan tindakan itu malah menyebabkan seorang penyiasat kanan KPK mengemukakan peletakan jawatannya.

Tindakan KPK itu mendapat kritikan daripada aktivis dan pakar yang menyifatkan badan berkenaan seakan memusnahkan kredibiliti mereka sendiri.

“KPK sudah memusnahkan kredibilitinya sendiri dengan memohon maaf. Tindakan itu tidak wajar. Mereka mempunyai hak dan harus meneruskan kes ini untuk dibicarakan di mahkamah anti-rasuah sivil,” kata Pengerusi Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Hak Asasi Manusia Centra Initiative, Al Araf kepada CNA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya