BOGOR: Hospital Sentosa, Bogor, Jawa Barat menggantung tugas lima bidan dan seorang jururawat kerana didakwa lalai ketika memakaikan gelang identiti pesakit sehingga bayi Siti Maulia tertukar dengan bayi lain.
Keputusan itu dibuat selepas tujuh individu disiasat sebagai saksi oleh penyiasat Unit Penyiasatan Jenayah Polis Bogor.
“Pada mulanya, seramai 15 orang akan dipecat, namun selepas membuat penelitian, kita buat keputusan untuk menggantung tugas lima bidan dan seorang jururawat yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.
“Hal ini amat serius dan pihak hospital tidak mahu kes serupa berulang lagi pada masa akan datang,” kata jurucakap hospital berkenaan, Gregg Djako kepada Kompas.com.
Gregg juga memberitahu, keenam-enam individu itu tidak dibenarkan bertugas di unit bersalin buat sementara waktu sehingga kes selesai.
Sehubungan itu, mereka akan ditukarkan ke bahagian pentadbiran.
Terdahulu, sejumlah bidan dan jururawat di hospital tersebut disoal siasat oleh polis sebagai saksi berhubung kes tertukar bayi melibatkan seorang pesakit bernama Siti Maulia.
Soal siasat yang berlangsung selama 10 jam itu mendapati, wujud unsur kelalaian semasa bidan dan jururawat memakaikan gelang identiti pada bayi yang dilahirkan oleh pesakit B sehingga tertukar dengan bayi Siti Maulia.
Bagi menyelesaikan kes tersebut, polis akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap pesakit B pada minggu depan.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan kisah Siti Maulia dan suami, M Thabrani yang mendedahkan bayi lelaki mereka tertukar di Hospital Sentosa, Bogor, Jawa Barat, pada 18 Julai lalu.
Insiden itu hanya terbongkar setahun kemudian selepas Siti Maulia melakukan ujian DNA di makmal Cempaka Putih, Jakarta.
Wanita itu mendedahkan dia berasa jangga dan curiga bahawa bayinya tertukar dengan yang lain semasa menyusukan anaknya.