BANGKOK: Apabila Parlimen Thailand mengundi Srettha Thavisin untuk menjadi perdana menteri baharu negara ini, Pita Limjaroenrat yang terlepas merebut jawatan itu biarpun memenangi pilihan raya lepas akan terus ‘memerhati tanpa rasa kesal’.
Menjadikan bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew sebagai inspirasi, Pita mahu fokus terhadap matlamat jangka panjang untuk menerajui perubahan demokrasi di Thailand.
Katanya, parti pimpinannya, iaitu Move Forward akan meneruskan perjuangan menentang campur tangan tentera yang berkuasa dalam politik negara ini.
Secara khususnya, graduan Universiti Harvard berusia 42 tahun itu berazam untuk merealisasikan visi untuk negaranya, iaitu suara rakyat perlu dihormati, biarpun langkah itu berdepan kesukaran.
Baginya, demokrasi Thailand hari ini sebahagian besarnya terhad kepada pilihan raya dan sebaik sahaja rakyat mengundi, ia seolah-olah menjadi ‘permainan kad’ bagi ahli politik yang kebanyakannya bersedia untuk memungkiri janji kempen dan mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Saya berpegang kepada kata-kata Kuan Yew yang menyatakan pentadbiran kerajaan bukanlah permainan kad, sebaliknya adalah ‘hidup anda dan saya’, selain ahli politik perlu memegang kepercayaan rakyat dengan hati-hati.
“Beliau berkata, menjadi satu perjuangan yang berterusan untuk membuat perubahan berlaku dan itulah kepimpinan sebenar,” katanya.
Selain itu, Pita menjelaskan suara rakyat Thailand adalah jelas apabila memilih partinya sehingga membawa kemenangan besar dalam pilihan raya lepas.
Pita menyatakan beliau sedikit pun tidak menyesal dengan apa yang berlaku biarpun tidak menjadi perdana menteri negara ini.
“Saya menang dan saya dihalang, namun saya tidak gagal. Politik merupakan maraton dan bukannya lari pecut.
“Saya mempunyai stamina yang tinggi untuk ‘berlari jarak jauh sehingga tiba di garisan penamat’,” katanya.
Kelmarin, Srettha diperkenankan oleh Raja Thailand untuk menjadi perdana menteri baharu negara ini dan membentuk kerajaan.