JAKARTA: Kementerian Penyelaras Bidang Maritim dan Pelaburan mengarahkan agar semua kementerian menerapkan langkah bekerja dari rumah atau work frome home bagi mengatasai pencemaran udara di Jakarta dan kawasan sekitarnya.
Arahan itu dinyatakan oleh menterinya, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu mesyuarat berkaitan kualiti undara di Jakarta, kelmarin.
Luhut juga mengarahkan supaya jumlah kadar bayaran di tempat letak kenderaan dinaikkan, bagi mengurangkan orang ramai menggunakan kenderaan untuk bekerja dan melakukan aktiviti harian.
Katanya, bekerja dari rumah bukan sahaja boleh membantu mengurangkan pencemaran udara, malah boleh menjimatkan kewangan.
“Kita akan laksanakan kerja dari rumah ini sehingga kita berpuas hati dengan tahap kualiti udara di Jakarta dan kawasan sekitarnya.
“Langkah ini diambil kerana ia merupakan satu daripada cara terbaik untuk kurangkan pencemaran,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Jakarta juga mengarahkan semua pejabat supaya melakukan kerja dari rumah bermula 21 Ogos ini.
Perkara itu disampaikan oleh Timbalan Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono.
“Namun, kerja dari rumah itu hanya untuk golongan pekerja yang tidak terlibat secara langsung dengan masyarakat.
“Petugas perubatan dan sektor kritikal masih perlu ke tempat kerja demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.