Kematian ketua Wagner akibat kemalangan atau dibunuh?

Kematian ketua Wagner akibat kemalangan atau dibunuh?

ORANG ramai memberi penghormatan terakhir bagi memperingati Yevgeny Prigozhin di hadapan `Pusat Wagner PMC' di St. Petersburg. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin dilaporkan berada di dalam sebuah pesawat yang terhempas di utara Moscow, tanpa ada mangsa yang terselamat.

Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa Russia, kira-kira dua bulan selepas Prigozhin mengetuai pemberontakan bersenjata menentang kepimpinan tentera negara itu.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Kremlin mahupun Kementerian Pertahanan mengulas nasib ketua kumpulan upahan Wagner itu.

Yevgeny Prigozhin

Saluran Telegram berkaitan dengan kumpulan Wagner, Grey Zone mendakwa Prigozhin sudah meninggal dunia.

Malah, saluran aplikasi itu turut menyanjungi Prigozhin sebagai wira dan patriot yang didakwa sudah meninggal dunia di tangan orang yang tidak dikenali tetapi dianggap `pengkhianat Russia’.

Ketika pelbagai spekulasi hangat timbul dan ketiadaan fakta yang sah, beberapa penyokong Prigozhin menuding jari menyalahkan kerajaan Russia.

Dilaporkan, golongan individu yang menentang Presiden Vladimir Putin atau kepentingannya juga meninggal dunia dalam keadaan tidak jelas atau hampir mati.

Ia termasuk pemimpin politik dan wartawan yang lantang bersuara.

Kematian Prigozhin akan menyebabkan kumpulan tentera upahan itu tidak mempunyai ketua, selain mencetuskan tanda tanya mengenai operasi masa depan di Afrika dan tempat lain.

Malah, kematian ketua kumpulan upahan Wagner juga akan menyingkirkan Putin daripada pihak yang melancarkan cabaran paling kuat terhadap kuasa pemimpin Russia sejak memerintah pada tahun 1999.

Menurut laman sesawang Ibu Pejabat Penerbangan Antarabangsa, jet eksekutif Embraer Legacy 600 yang terhempas itu hanya merekodkan satu nahas dalam tempoh lebih 20 tahun perkhidmatan.

Jelas laman sesawang itu, nahas terbabit disebabkan kesilapan anak kapal dan bukannya masalah mekanikal.

Menurut Embraer, pihaknya mematuhi sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Russia.

Malah, kata syarikat aeroangkasa itu, pihaknya juga tidak melakukan penyelenggaraan untuk pesawat berkenaan sejak 2019.

Berdasarkan data penjejakan penerbangan, pesawat itu tidak menunjukkan sebarang tanda berlakunya masalah sehingga jatuh mendadak 30 saat terakhir sebelum terhempas.

PENGASAS BERSAMA WAGNER TURUT MAUT

Agensi penerbangan awam Russia, Rosaviatsia menyiarkan kesemua 10 penumpang yang berada di dalam pesawat terhempas itu.

Nama Prigozhin dan komandan kanannya, Dmitry Utkin turut disenaraikan dalam senarai penumpang jet itu.

Pegawai penyiasat Russia memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas.

Beberapa sumber mendakwa pesawat itu ditembak jatuh oleh satu atau lebih peluru berpandu darat ke udara.

Kementerian Situasi Kecemasan Russia memaklumkan pesawat itu yang dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg terhempas berhampiran kampung Kuzhenkino di wilayah Tver.

Dilaporkan, Prigozhin kali terakhir dilihat dalam video yang dikeluarkan Isnin lalu, didakwa dari Afrika.

Sebelum ini, saluran Grey Zone mendakwa pesawat ketua tentera upahan Wagner ditembak jatuh di ruang udara Rusia dalam satu serangan terancang.

Jelas saluran itu, pesawat itu dijatuhkan oleh pertahanan anti-pesawat di wilayah Tver.

Gray Zone memaklumkan dua pesawat dari pasukan upahan swasta Wagner berada di udara pada masa yang sama.

Pesawat kedua berpusing semasa penerbangan ke St Petersburg dan mendarat di Lapangan Terbang Ostafyevo di selatan Moscow. – REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya