JAKARTA: Musim kemarau yang berpanjangan sejak awal tahun ini mencetuskan kebakaran hutan di beberapa kawasan di wilayah Kalimantan Selatan.
Menurut Ketua Bidang Kecemasan dan Logistik Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Provinsi Kalimantan Selatan, Pormadi Dharma, kawasan yang terbakar kini sudah mencecah 1,978 hektar.
Pormadi berkata, kebakaran hutan berlaku di 13 daerah dan bandar termasuk di Banjarmasin, Banjarbaru, Banjar, Tapin, Sungai Hulu Selatan, Balangan, Tabalong, dan Kotabaru.
“Berdasarkan pemantauan Satelit Sipongi, terdapat sebanyak 7,987 titik panas yang dipantau dan merebak di 13 daerah.
“Jumlah tersebut jauh lebih besar daripada hasil pemantauan melalui udara yang hanya menemukan 793 titik panas,” katanya.
Jelas beliau, pasukan gabungan daripada anggota BPBD, tentera, polis, Persatuan Peduli Kebakaran termasuk beberapa lagi agensi dan sukarelawan masih bertungkus-lumus memadamkan api menggunakan kaedah manual atau udara.
“Titik panas dan kebakaran baharu masih ditemukan petugas. Minggu lalu, pasukan BPBD berusaha keras memadam kebakaran seluas 3.5 hektar di Batola yang merebak dengan pantas di tiga wilayah berbeza.
“Pasukan penyelamat juga bertungkus-lumus memadam kebakaran belukar di sekitar daerah Pelaihari dan Panyipatan dengan bantuan polis serta masyarakat setempat,” katanya.-AGENSI