NEW DELHI: Organisasi berhaluan kanan di India menggesa boikot ekonomi terhadap perniagaan Islam selepas keganasan kaum meletus di Haryana.
Pertempuran kaum meletus di daerah Nuh pada 31 Julai selepas perarakan keagamaan oleh pertubuhan Vishwa Hindu Parishad dilaporkan diserang, mengorbankan enam orang termasuk dua pengawal keselamatan.
SERANGAN PERKAUMAN
Menurut Al Jazeera, pertempuran kemudian merebak ke daerah lain termasuk di Gurugram apabila sebuah masjid dibakar dan imamnya, Mohammad Saad, 22, terbunuh.
Menteri Dalam Negeri, Haryana, Anil Vij berkata, polis sudah menagkap 312 orang dan membawa sekurang-kurangnya 106 ke dalam tahanan pencegahan.
Dalam satu demonstrasi di bandar Hansi di daerah Hisar 2 Ogos lalu, anggota kumpulan Hindu Bajrang Dal, Krishna Gurjar didakwa memberi amaran kepada perniagaan tempatan untuk memecat pekerja beragama Islam atau menghadapi boikot.
Perkara serupa turut dilakukan lebih 50 badan pentadbiran kampung di tiga daerah di Mahendergarh, Rewari dan Jhajjar.
BOIKOT PENIAGA ISLAM
Badan berkenaan mengeluarkan satu surat pada 3 Ogos lalu mendakwa sudah memutuskan untuk mengharamkan kemasukan peniaga Islam di kawasan mereka berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap penganut Hindu di Nuh.
Satu lagi protes yang diadakan pada 6 Ogos lalu di kampung Tigra di Haryana menyaksikan penunjuk perasaan menuntut pembebasan lelaki yang ditangkap kerana membunuh Mohammad Saad.
Peguam, Shahrukh Alam menggelar seruan boikot ekonomi terhadap umat Islam itu sebagai tindakan keganasan.
Shahrukh berkata, kenyataan yang dikeluarkan terhadap peniaga Islam juga bertentangan dengan undang-undang.
“Tindakan menulis surat itu sendiri adalah satu kesalahan dan keganasan terhadap integriti India, kepada persaudaraan dan kesamarataan status yang dijanjikan dalam Perlembagaan.
“Amat mengecewakan apabila pihak berkuasa memilih untuk tidak segera mendakwa pengarang surat tersebut,” katanya.
Menurut polis, satu kes difailkan terhadap anggota Bajrang Dal, Kulbhushan Bhardwaj dan beberapa individu lain kerana mempromosikan permusuhan antara kumpulan dan agama berbeza.
Minggu lalu, Peguam, Kapil Sibal mengeluarkan petisyen kepada Mahkamah Agung India terhadap gesaan untuk memboikot ekonomi umat Islam di Haryana dan menuntut masalah itu ditangani segera.