Kebakaran hutan Sepanyol, Kanada makin merebak

Kebakaran hutan Sepanyol, Kanada makin merebak

KEBAKARAN di luar kawalan memusnahkan kawasan cerun hutan La Matanza di Pulau Tenerife. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENERIFE: Beribu-ribu lagi penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka di pulau Tenerife, Sepanyol ketika kebakaran hutan yang marak di bahagian utara pulau itu masih gagal dikawal.

Bagaimanapun, setakat ini, kebakaran hutan itu dilaporkan tidak merebak ke beberapa kawasan pelancongan utama.

Menurut perkhidmatan kecemasan Kepulauan Canary, lebih 26,000 penduduk sudah dipindahkan dari kediaman masing-masing pada petang kelmarin.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding kira-kira 4,500 penduduk yang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara pada Jumaat lalu.

Jelasnya, kira-kira 11 pekan terjejas dengan kebakaran hutan itu.

Kebakaran itu tercetus pada Rabu lalu di taman negara pergunungan berhampiran gunung berapi Teide di tengah-tengah cuaca panas melampau.

Presiden wilayah Fernando Clavijo berkata, pihaknya sudah mengeluarkan lebih banyak arahan pemindahan sejak pagi Sabtu berikutan cuaca buruk.

Malah, katanya, asap tebal turut menghalang operasi memadam kebakaran dari udara.

Kebakaran itu menyebabkan kira-kira 5,000 hektar kawasan hutan di Pulau Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol, musnah.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Tenerife, Rosa Davila menyifatkan kebakaran hutan merupakan paling teruk dan pada skala yang belum pernah dilihat di Kepulauan Canary.

Katanya, keutamaan pihaknya adalah untuk melindungi nyawa penduduk di kawasan itu.

Menurut beliau, setakat ini, kebakaran hutan itu tidak memusnahkan mana-mana kediaman penduduk.

* KEBAKARAN HUTAN KANADA

Sementara itu, pegawai di barat Kanada British Columbia menggesa puluhan ribu penduduk mematuhi amaran dan berpindah susulan kebakaran hutan semakin merebak yang mengancam sebahagian besar Lembah Okanagan termasuk bandar Kelowna.

Menteri pengurusan situasi kecemasan wilayah itu, Bowinn Ma berkata, keadaan di kawasan popular bagi aktiviti mendaki dan berperahu itu amat kritikal.

Katanya, hampir 30,000 penduduk sudah diarah berpindah manakala 36,000 lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk bersiap sedia melarikan diri.

“Kami menekankan betapa pentingnya untuk mematuhi perintah pemindahan apabila ia dikeluarkan.

“Ia adalah soal hidup dan mati bukan sahaja untuk penduduk di hartanah tersebut, tetapi juga untuk responden pertama yang sering kali kembali untuk cuba merayu orang ramai berpindah,” katanya.

Kelowna, sebuah bandar mempunyai 150,000 penduduk, diselubungi asap tebal apabila ia menjadi pusat populasi terbaharu dilanda kebakaran hutan pada musim panas di seluruh Kanada sehingga menyebabkan jutaan ekar hangus.

Perdana Menteri Justin Trudeau berkata beliau sudah bercakap dengan rakan sejawatnya dari British Columbia, David Eby mengenai situasi kebakaran hutan yang merebak dan menyebabkan kemusnahan besar. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya