MOSCOW: Russia semalam melancarkan kapal angkasa pertama bagi mendarat di bulan dalam tempoh 47 tahun.
Pelancaran itu dibuat sebagai usaha menjadi negara pertama melakukan pendaratan awal di kutub selatan bulan, wilayah yang dipercayai menyimpan poket air ais.
Misi bulan Agensi Angkasa Lepas Russia, Roscosmos memaklumkan, pelancaran itu adalah yang pertama sejak 1976, selain menjadi saingan menentang India,yang melancarkan misi pendaratan bulan Chandrayaan-3 pada bulan lalu.
Malah, Amerika Syarikat (AS) dan China kini turut memperluaskan program penerokaan bulan secara lebih canggih, yang menyasarkan kawasan kutub selatan bulan.
Roket Soyuz 2.1v yang membawa kapal Luna-25 berlepas dari kosmodrom Vostochny, 5,550 kilometer ke timur Moscow, pada pukul 2:11 pagi Jumaat waktu Moscow.
Ketua ruang angkasa Russia, Yuri Borisov, memberitahu Interfax kapal itu dijangka mendarat di bulan pada 21 Ogos ini.
“Sekarang, kita akan menunggu pada 21 Ogos ini, saya berharap pendaratan itu berjaya,” katanya.
Luna-25, yang saiznya sebesar kereta kecil, dijangka beroperasi selama setahun di kutub selatan bulan.
Russia berharap misi Luna-25 dapat ‘memberi tamparan hebat’ kepada Barat selepas negara ini dikenakan pelbagai sekatan berikutan perang di Ukraine.
Sekatan terhadap sektor aeroangkasa turut dikenakan, namun Moscow menegaskan perkara itu tidak sedikit pun menjejaskan ekonomi Russia.
Antara sekatan yang dibuat adalah AS memutuskan kerjasama dengan Russia di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). – REUTERS