CANAKKALE: Jepun dan Agensi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memeterai perjanjian untuk membina dua kemudahan kitar semula sisa runtuhan.
Pembinaan fasiliti dilengkapi teknologi canggih dan terkini itu bagi membantu menangani masalah lambakan sisa runtuhan bangunan disebabkan tragedi gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye Februari lalu.
Lapor Nikkei Asia, projek perintis itu akan dibangunkan di wilayah selatan Hatay dan Kahramanmaras.
Dua wilayah itu antara teruk terjejas dalam kalangan 12 kawasan dilanda bencana yang mengorbankan lebih 50,000 orang di Turkiye dan Syria, selain menyaksikan lebih 300,000 struktur musnah atau tidak dapat didiami akibat kerosakan besar.
Menurut UNDP, lebih 200 juta tan serpihan terhasil akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu, sekali gus mendominasi hampir semua bencana alam berlaku sebelum ini termasuk kejadian gempa bumi dan tsunami Jepun pada 2011.
Dilaporkan, ketika itu, kira-kira 31 juta tan serpihan runtuhan terhasil akibat bencana di Jepun.
“Serpihan gempa bumi Turkiye sudah cukup untuk menutup seluruh Manhattan sebanyak dua kali, dalam lapisan runtuhan setinggi satu meter,” kata agensi itu menerusi kenyataan.
Fasiliti kitar semula itu merupakan yang pertama seumpamanya dibina di kawasan dilanda gempa bumi.
Kemudahan baharu itu mampu mengeluarkan asbestos dan sisa berbahaya lain daripada runtuhan dengan selamat, selain mengasingkan besi buruk dan bahan kitar semula lain serta menghancurkan simen untuk digunakan semula sebagai bahan penurapan dan binaan.
Menurut UNDP, bencana sebelum ini menunjukkan 90 peratus sisa runtuhan bangunan boleh dikitar semula.
Malah, jelasnya, Jepun hanya menggunakan semula kira-kira 81 peratus daripada serpihan ditinggalkan selepas bencana 2011.
Pemeteraian perjanjian itu menyaksikan Jepun menyuntik sebanyak 700 juta yen (RM22.22 juta) dalam pembiayaan dan projek kitar semula itu dijangka siap dalam tempoh setahun.