Jepun peringati ulang tahun ke-78 peristiwa bom atom Hiroshima - Utusan Malaysia

Jepun peringati ulang tahun ke-78 peristiwa bom atom Hiroshima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun hari ini memperingati ulang tahun ke-78 peristiwa pengeboman atom ke atas Hiroshima oleh Amerika Syarikat (AS) pada 1945, dengan Datuk Bandarnya menggesa supaya senjata nuklear dihapuskan.

Mei lalu, Hiroshima menjadi tumpuan di mana Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menjadi hos Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di bandar barat itu yang juga kawasan pilihan raya beliau.

Pemimpin G7 mengeluarkan kenyataan menzahirkan komitmen mereka untuk mencapai pelucutan senjata tetapi menekankan selagi senjata nuklear wujud, ia harus berfungsi menghalang pencerobohan dan mencegah peperangan.

Hari ini, ‘loceng keamanan’ berdentang tepat pada jam 8.15 pagi – waktu bom atom digugurkan ke atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945, iaitu yang pertama di dunia.

Kira-kira 50,000 orang menghadiri upacara peringatan berlangsung di kawasan terbuka itu, termasuk warga emas yang merupakan mangsa terselamat dalam peristiwa dahsyat berkenaan.

Peserta terbabit meluangkan masa untuk bertafakur meskipun dalam keadaan cuaca panas mencecah suhu 30 darjah Celsius.

“Pemimpin di seluruh dunia mesti berdepan realiti bahawa ancaman nuklear kini disuarakan oleh sesetengah penggubal dasar, sekali gus mendedahkan ‘kebodohan’ teori pencegahan nuklear,” kata Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui ketika berucap pada upacara itu yang turut dihadiri Kishida.

Sementara itu, Kishida pula menyifatkan jalan ke arah dunia tanpa senjata nuklear kini semakin ‘curam’, antaranya disebabkan ancaman nuklear oleh Russia susulan peperangan di Ukraine.

Justeru, beliau menegaskan, adalah penting untuk mengembalikan momentum antarabangsa ke arah matlamat berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut menzahirkan sokongannya berhubung perkara itu.

“Pemimpin dunia telah melawat bandar ini, melihat tugu peringatannya, bercakap dengan mangsa terselamat yang berani, dan tampil tanpa gentar untuk memperjuangkan pelucutan senjata nuklear.

“Lebih ramai lagi harus berbuat sedemikian, kerana gendang perang nuklear sedang dipalu semula,” katanya dalam kenyataan dibacakan oleh seorang perwakilan PBB.

Bom atom bergelar ‘Little Boy’ yang digugurkan ke atas Hiroshima telah meragut beribu-ribu nyawa dengan serta-merta, dan mengakibatkan kematian kira-kira 140,000 mangsa lagi menjelang akhir tahun kejadian itu.

Tiga hari selepas pengeboman Hiroshima, AS melancarkan serangan atom seterusnya ke atas Nagasaki pada 9 Ogos 1945. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya