TOKYO: Jepun hari ini mula melepaskan sisa air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.
Kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.
Jepun kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air adalah selamat.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.Jepun berkata, kebanyakan unsur radioaktif daripada air berkenaan akan dikeluarkan, kecuali tritium, isotop hidrogen yang perlu dicairkan kerana unsur berkenaan sukar untuk ditapis.
Operator loji janakuasa Fukushima, Tepco, kelmarin berkata air itu asalnya akan dilepaskan dalam kuantiti lebih kecil berserta pemeriksaan tambahan dengan fasa pertama membabitkan 7,800 meter padu, untuk kira-kira 17 hari.
Katanya, seliter air itu akan mengandungi kira-kira 190 becquerel (Bq) tritium dan jumlah itu di bawah had ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 10,000 becquerel bagi seliter air minuman.
Becquerel ialah unit sistem antarabangsa bagi mengukur tahap radioaktif, di mana suatu radionuklid dengan 1Bq bersamaan satu penyuraian radionuklid per saat atau menyamai 2.7×10-11 curie.
Biarpun ada jaminan sedemikian, Hong Kong dan Macau bakal melaksanakan sekatan ke atas import makanan laut dari Jepun, termasuk Tokyo dan Fukushima, mulai hari ini.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, semalam, menegaskan akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi persekitaran marin, keselamatan makanan dan kesihatan awam.
Majoriti parti pembangkang dan kumpulan sivik Korea Selatan semalam turut meningkatkan protes terhadap rancangan Jepun itu.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee pula menyifatkan pelepasan itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’, selain berkata bandar itu akan mengenakan kawalan import membabitkan garam dan rumpai laut serta makanan laut hidup, sejuk beku dan kering.
Ketua Persekutuan Persatuan Koperasi Perikanan Kebangsaan, Masanobu Sakamoto, Isnin lalu, berkata kumpulan nelayan tempatan maklum pelepasan air itu selamat dari segi saintifik tetapi masih bimbang akan reputasi terjejas. – REUTERS