TOKYO: Tokyo menggesa Beijing untuk memastikan keselamatan penduduknya di China selepas kewujudan gelombang panggilan ugutan yang menyasarkan perniagaan di Jepun ekoran pelepasan sisa air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik minggu lalu.
Jepun sebelum ini menegaskan pelepasan air terawat itu adalah selamat dan pandangan tersebut disokong oleh Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun China tetap menentang keras tindakan tersebut yang dikatakan mencemarkan lautan dengan bahan berbahaya dan mengharamkan semua import makanan laut Jepun.
Semalam, kerajaan Jepun menerbitkan data baharu yang menunjukkan perairan Fukushima terus mencatatkan tahap radioaktif yang baik dalam had selamat.
Panggilan dari China mula membanjiri perniagaan Jepun sejak Khamis apabila operator loji janakuasa Tepco mula mengeluarkan air yang digunakan untuk menyejukkan reaktor nuklear yang terjejas di loji nuklear Fukushima Daiichi.
Kumpulan perniagaan Jepun dari Tokyo hingga ke akuarium di utara Iwate melaporkan, mereka mula menerima begitu banyak panggilan telefon daripada pemanggil yang bercakap dalam bahasa Cina hingga mereka mengalami kesukaran untuk menjalankan operasi.
Diplomat kanan Jepun, Hiroyuki Namazu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Asia dan Oceania, menyuarakan kekesalannya mengenai panggilan itu dan memberitahu pegawai kanan kedutaan China di Tokyo supaya meminta rakyatnya bertenang.
Menurut Kementerian Luar Jepun dalam satu kenyataan, insiden serupa turut berlaku di semua fasiliti milik Jepun di China.
“Kami menggesa kerajaan China untuk mengambil langkah sewajarnya, seperti menyeru rakyatnya untuk bertindak dengan tenang, dan mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan keselamatan penduduk dan misi diplomatik Jepun di China,” katanya.
Kedutaan Tokyo malah menggesa warganya di Beijing supaya mengelak daripada bercakap dengan lantang dalam bahasa Jepun.
Seorang ahli perniagaan Fukushima memberitahu agensi berita Kyodo bahawa empat restoran dan kedai pastrinya menerima lebih 1,000 panggilan sejak Jumaat lalu, kebanyakannya dari China.
Datuk Bandar Fukushima, Hiroshi Kohata dalam catatan di laman Facebook kelmarin mendakwa, dewan bandar raya menerima kira-kira 200 panggilan serupa sejak dua hari lalu dengan sekolah, restoran dan hotel tempatan turut menjadi sasaran.-AFP