JAKARTA: Polisi ‘golden visa‘ bagi warga asing yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kerja untuk menetap sambil bekerja di negara ini dijangka dikeluarkan dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
Menurut Tempo yang memetik Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, mana-mana syarikat yang ingin mendapat golden visa perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya AS$50 juta (RM227 juta) manakala bagi individu, pelaburan yang diperlukan adalah AS$350,000 (RM1.6 juta).
Kata Luhut, kementeriannya sudah berbincang dengan Presiden Joko Widodo (jokowi) mengenai polisi visa tersebut.
“Visa ini menyasarkan golongan profesional dari luar negara, termasuk penyelidik universiti terkemuka dunia dan pembangun teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Presiden sudah pun menyediakan golden visa kepada Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman,” ujarnya.
Indonesia bukan merupakan satu-satunya negara yang memperkenalkan visa khas untuk menarik kemasukan lebih banyak golongan profesional dari luar.
Terdahulu, Thailand turut memperkenalkan visa Penduduk Jangka Panjang, manakala Singapura pula mendedahkan Pas Rangkaian Luar Negara dan Golongan Pakar (ONE Pass).
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Silmy Karim berkata, golden visa akan memberi banyak faedah kepada kerajaan.
Golongan profesional yang memperoleh visa itu boleh menetap selama 10 tahun di negara ini.