Indonesia dikritik diskriminasi amah dalam negara

Indonesia dikritik diskriminasi amah dalam negara

SITI Khotimah didera oleh majikannya selepas beberapa bulan dia bekerja pada April 2022. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Dipukul, dipaksa makan najis haiwan dan dirantai pada sangkar anjing. Itu merupakan antara bentuk penderaan yang sering dihadapi golongan pembantu rumah atau amah di Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara tersebut secara tidak langsung menunjukkan kerajaan negara ini gagal melindungi golongan pekerja domestik di tempat sendiri berbanding mereka yang bekerja di luar negara.

Siti Khotimah meninggalkan kampung halamannya di Jawa Tengah untuk merantau ke Jakarta pada tahun lepas sebelum dia membuat keputusan untuk bekerja sebagai pembantu rumah menerusi Facebook.

Niatnya bekerja cuma satu, iaitu melangsaikan semua hutang ibu bapanya di kampung.

Selepas beberapa bulan didera oleh majikannya, wanita berusia 24 tahun itu kini berjalan tempang, selain kesan parut melecur kelihatan jelas pada bahagian kakinya.

“Kepala saya sakit setiap kali saya teringat apa yang berlaku pada saya,” katanya sambil menangis.

Kes Khotimah bukanlah yang pertama kali berlaku di Indonesia yang tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi pekerja domestik.

Kekurangan itu menyaksikan lebih empat juta orang, dengan kebanyakannya wanita berdepan risiko penderaan dan serangan seksual.

Pada bulan lalu, majikannya yang berusia 70 tahun di Jakarta Selatan dipenjara selama empat tahun kerana melakukan penderaan fizikal, manakala suami dan anak perempuan majikannya, serta enam lagi pembantu rumah dipenjara tiga setengah tahun.

SERANGAN SEKSUAL

Selain itu, Khothimah juga memaklumkan dia dirogol dan diserang secara seksual semasa bekerja dengan majikannya, namun dia tidak ‘mampu menceritakannya’ sewaktu mula-mula dia membuat laporan polis.

Tidak lama selepas itu, polis meminta wanita itu membuat laporan berasingan mengenai dakwaannya dirogol oleh suami majikannya.

‘TIADA BAYANG’

Rang undang-undang berkaitan pekerja domestik masih tidak nampak bayangnya sejak hampir dua dekad dan para aktivis menuduh kerajaan tidak serius untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Di bawah rangka kerja semasa, pembantu rumah tidak diklasifikasikan sebagai pekerja, sekali gus menyebabkan mereka ‘beroperasi secara tidak formal’.

Biarpun rang undang-undang itu dilaksanakan, kemungkinan ia hanya berfungsi untuk pekerja domestik yang berdaftar di bawah agensi untuk bekerja di luar negara.

Bagi aktivis hak asasi wanita, Tiasri Wiandani, kerajaan perlu melakukan lebih banyak perkara bagi membantu pekerja domestik di dalam negara.

“Kerajaan tidak malu minta perlindungan untuk pekerja di luar negara sedangkan yang di dalam negara dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.

DITUDUH MENCURI

Penderaan terhadap Khotimah bermula pada April 2022 apabila pembantu rumah lain menuduh dia mencuri dan setiap kali dia menafikannya, wanita tersebut akan dipukul berulang kali.

“Saya dijirus dengan air panas, selain dipaksa makan najis anjing mereka. Sepanjang lapan bulan saya bekerja, saya hanya dibayar sebanyak 1.5 juta rupiah (RM451) sebelum majikan menghantar saya ke kampung,” jelas Khotimah.

Ibu Khotimah menemukan wanita itu terbaring di atas lantai depan rumahnya pada pukul 3 pagi dengan keadaan amat daif.

Rambutnya dipotong pendek, kakinya berlumuran darah dan kedua-dua tangannya penuh dengan kesan dicucuh puntung rokok.

Kemudian, keluarganya membuat laporan polis dan majikannya ditahan ketika Khotimah dihantar ke hospital Jakarta untuk rawatan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya