ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditahan di kediamannya di Lahore, hari ini.
Penahanan itu dibuat selepas sebuah mahkamah di Islamabad mendapati bekas pemimpin itu bersalah atas tuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadapnya.
Bekas bintang kriket itu sudah lama berdepan pelbagai kes mahkamah atas tuduhan yang didakwa bermotifkan politik sejak digulingkan dalam undi tidak percaya tahun lalu.
“Ketidakjujuran beliau sudah terbukti tanpa sebarang keraguan.
“Beliau didapati bersalah atas amalan rasuah dengan menyembunyikan manfaat diperoleh daripada perbendaharaan negara dan dilakukan secara sengaja,” kata hakim Humayun Dilawar dalam dokumen keputusan mahkamah.
Kes yang membawa kepada penahanan Imran tertumpu mengenai hadiah diterimanya dan tidak diisytiharkan dengan betul semasa menjadi Perdana Menteri antara 2018 hingga 2022.
Mei lalu, Imran ditahan dan direman dalam tahanan di Islamabad atas tuduhan yang sama.
Tindakan itu mencetuskan situasi huru-hara sehingga penyokong parti politik pimpinan Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) melakukan protes di jalanan dan bertempur dengan polis.
Setelah pembebasan Imran selepas tiga hari dalam tahanan, PTI disasarkan tindakan keras dengan ribuan penahanan dilakukan dan laporan ugutan.
Dilaporkan, sebuah rakaman video yang memaparkan insiden sebelum penahanan Imran disiarkan menerusi akaun media sosialnya.
Sementara itu, hakim turut mengenakan denda sebanyak 100,000 rupee terhadap Imran.
Tidak lama selepas keputusan itu, polis memasuki kediaman pemimpin itu dan menahannya. – AFP