BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Miao Chunyou menjerit memanggil ibunya ketika dia ‘ditelan’ arus deras banjir yang melanda barat Beijing.
Arus deras itu ‘meragut’ Chunyou dari pegangan bapanya ketika banjir yang dicetuskan hujan lebat luar biasa memaksa mereka sekeluarga memanjat bumbung rumah jiran mereka.
Ibunya yang berpaut pada dahan pokok hanya mampu melihat anaknya hanyut dan itu merupakan kali terakhir dia melihat Chunyou.
Kini, sudah lebih 10 hari berlalu, pasangan suami isteri itu masih tidak tahu keadaan anak perempuan mereka.
“Insiden itu berlaku seperti dalam filem, keadaan banjir yang arusnya deras amat menakutkan,” kata ibu Chunyou yang hanya mahu dikenali sebagai Chang.
Banjir besar yang berlaku di beberapa wilayah di China menyaksikan sekurang-kurangnya 62 orang maut, iaitu 33 di Beijing dan 29 lagi di Hebei.
Chang memberitahu, ketika kejadian, paras air setinggi dua lelaki dewasa dan banjir yang berlaku disifatkan paling luar biasa pernah berlaku.
“Ketika air mula masuki rumah kami, saya dan suami cuba pam air keluar sebanyak yang boleh, namun usaha kami gagal apabila dalam masa setengah jam, air semakin tinggi,” katanya.
Chunyou bukan anak kandung Chang dan suaminya, namun pasangan itu menjaga kanak-kanak itu sejak lahir.
Chang dan suaminya mempunyai anak kembar lelaki yang kini berusia 27 tahun.
Chang memberitahu, anak kembarnya berasa sedih dan tidak mampu berkata apa-apa selepas mengetahui adik perempuan mereka hilang.
“Seperti mana-mana ibu bapa, saya juga berharap anak saya ditemukan, sama ada hidup mahu pun meninggal dunia.
“Saya akan tunggu Miao Chunyou saya,” ujarnya.