BOGOR: Isu tertukar anak di sebuah hospital di Bogor masih belum dapat diselesaikan berikutan ibu salah seorang bayi lelaki itu enggan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Siti Mauliah, 37, mengesyaki bayinya tertukar akibat kecuaian petugas kesihatan selepas bersalin di Hospital Sentosa di wilayah Kemang pada 22 Julai tahun lalu.
Jurucakap Hospital Sentosa, Gregg Djako berkata, kejadian berkenaan hanya diketahui oleh pusat kesihatan itu pada Mei lalu, sekitar 11 bulan selepas kedua-dua bayi dilahirkan.
Gregg berkata, pihak hospital sudah menghubungi keluarga pesakit yang disyaki tertukar anak dengan Siti Maulia kerana berdasarkan rekod perubatan, hanya ada dua bayi lelaki yang dilahirkan pada tarikh sama ketika itu.
Bagaimanapun, kata Gregg, hanya Siti Maulia yang sanggup menjalani ujian DNA sementara pesakit warga Tajur Halang itu memberi alasan belum bersedia walaupun sudah dua kali diberi surat arahan oleh pihak hospital.
“Pihak hospital yakin bayi Siti Maulia tertukar dengan pesakit berkenaan kerana hanya dua bayi lelaki dilahirkan pagi itu. Ujian DNA yang dilakukan juga mengesahkan bayi yang dijaga Siti Maulia bukan anak kandungnya.
“Kami sudah memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua keluarga namun pesakit berkenaan menerusi peguamnya menyatakan masih belum bersedia dari segi mental dan emosi untuk menjalankan ujian sama.
“Pesakit berkenaan malah memberitahu anak yang dijaga itu adalah anak kandungnya sendiri dan mendakwa Siti Maulia tersalah orang,” katanya.
Bagaimanapun Gregg berkata, pihak hospital tidak akan berdiam diri atau menutup kesilapan berkenaan sebaliknya akan berusaha menyelesaikan isu itu secepat mungkin.