BANGKOK: Harga beras eksport dari Asia terus berdepan kenaikan mendadak minggu ini, apabila pengeksport utama iaitu India mengeluarkan larangan eksport baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan global bahan ruji itu.
Harga beras Vietnam dan Thailand kini melonjak hampir 20 peratus sejak India mengeluarkan larangan eksport beras putih bukan basmati bulan lalu.
Harga beras hancur lima peratus Thailand adalah pada AS$650 – AS$655 (RM2,976 – RM2,999) setiap tan metrik, tertinggi sejak Oktober 2008, berbanding AS$627 – AS$630 (RM2,871 – RM2,885) minggu lalu.
Menurut seorang peniaga berpangkalan di Bangkok, bekalan beras baharu adalah terhad.
Permintaan datang dari seluruh dunia termasuk Indonesia, Afrika dan Filipina, kata peniaga lain, sambil menambah mungkin terdapat lebih banyak bekalan, tetapi pengilang mungkin menyimpannya dan menjual apabila harga lebih tinggi.
eras hancur lima peratus Vietnam ditawarkan pada AS$620 – AS$630 (RM2,839 – RM2,885) satu tan, tertinggi sejak Julai 2008 dan meningkat daripada AS$590 – AS$600 (RM2,700 – RM2,747) seminggu yang lalu.
“Aktiviti dagangan adalah terhad kerana pengeksport masih menjangkakan kenaikan harga lanjut,” kata seorang peniaga yang berpangkalan di Ho Chi Minh City.
Pengeksport tidak menandatangani kontrak eksport baharu kerana harga padi domestik semakin mahal, menyukarkan mereka untuk memastikan bekalan mencukupi untuk kontrak itu.
Data penghantaran awal menunjukkan 182,180 tan beras akan dimuatkan di pelabuhan Ho Chi Minh City pada 1 hingga 15 Ogos.
Beras hancur lima peratus separa masak India berada pada rekod AS$460 – AS$467 (RM2,106 – RM2,138) satu tan minggu ini, meningkat daripada AS$450 (RM2,060) minggu lalu kepada AS$455 (RM2,083) apabila permintaan beralih berikutan larangan ke atas jenis bukan basmati.
Sementara itu, negara jiran Bangladesh menarik balik larangan eksport beras wangi berikutan rizab domestik yang baik dan rekod tanaman, kata seorang pegawai kementerian perdagangan. – REUT