WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan gambar syot wajahnya (mugshot) yang dikeluarkan pihak penjara sebagai bahan kumpul dana bagi kempen pilihan raya presiden akan datang.
Lapor The Guardian, mugshot Trump didedahkan kepada umum selepas dirakam di penjara di Georgia pada Khamis lalu atas tuduhan melakukan kegiatan haram dan cubaan konspirasi membatalkan keputusan pilihan raya negeri itu.
Gambar banduan dengan nombor P01135809 yang dikeluarkan pihak berkuasa Georgia menunjukkan Trump berpakaian sut biru tua, kemeja putih dan tali merah merengus dan memandang tajam ke arah kamera.
Imej itu dipaparkan di skrin seluruh AS, selain disiarkan di muka depan New York Times, Washington Post dan akhbar lain di seluruh dunia.
Selepas dibebaskan dengan jaminan AS$200,000 (RM 927,981), Trump tanpa membuang masa memanfaatkan masa terluangnya.
Menerusi platform media sosial X, beliau memuat naik mugshot itu bersama kapsyen tertera `Campur tangan pilihan raya, tidak pernah menyerah diri’ dengan pautan menghubungkan ke laman pengumpulan dana.
Ia merupakan hantaran pertama disiarkan sejak 8 Januari 2021 selepas laman Twitter pada ketika itu menyekat akaun Trump berikutan insiden serangan di bangunan Capitol.
Hantaran itu disiarkan ketika Trump dalam penerbangan pulang ke New Jersey.
Juru kempen Trump 2024 turut menggunakan mugshot bekas presiden itu yang dikeluarkan pihak penjara pada kelalang, cawan, baju-T dan barangan lain.
“Akhirnya, mugshot itu sudah sampai, sudah tentu ia akan kekal selama-lamanya dalam sejarah sebagai lambang penentangan AS terhadap kezaliman,” jelas satu emel dihantar kempen Trump 2024
Sementara itu, anak lelaki bekas pemimpin itu, Donald Trump Jr berkata, mugshot bapanya yang dirakam di penjara bakal menjadi gambar paling ikonik dalam sejarah politik AS.
Ketika ditanya sama ada bapanya bimbang akan masuk penjara, Donald Jr memaklumkan mereka sudah terbiasa dengan perkara ini malah tidak pernah memikirkannya.
“Kami memahami apa yang sedang berlaku dan berharap agar rakyat AS juga sedang mengenai perkara ini,” katanya.