MAKASSAR: Seorang nelayan cedera parah dan putus jari tangannya selepas ditetak samseng yang cuba merampas hasil tangkapannya dalam kejadian di Pelabuhan Paotere Ahad lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Tasri atau Coppeng, 31, dari Kota Makassar ditahan polis selepas mencederakan mangsa, Ikrah Mullah dalam insiden kekecohan di Jalan Lelong Paotere yang berlaku kira-kira pukul 8.00 pagi (waktu tempatan).
Ketua Polis Pelabuhan Makassar, Yudi Frianto berkata, pergaduhan tercetus selepas suspek cuba meminta ikan daripada mangsa yang sedang memunggah hasil tangkapan di kapalnya ketika itu, namun tidak diberikan.
“Suspek marah dan tersinggung, kemudian pulang ke rumahnya. Tak lama kemudian dia datang ke pelabuhan dengan membawa parang dan kemudian menyerang mangsa.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di pipi kiri, luka di lutut kiri dan ibu jari tangan kirinya turut putus akibat ditetak suspek.
“Suspek adalah samseng yang sering melepak di Pelabuhan Paotere,” jelasnya.
Yudi berkata, polis sudah merampas parang yang digunakan dalam serangan itu dan jika disabit kesalahan Tasri bakal berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.