WASHINGTON: Hartawan terkemuka, Elon Musk mengakui platform media sosial, X `mungkin gagal’ selepas masalah teknikal dialami menyebabkan gambar-gambar lama dimuat naik sebelum ini di Twitter terpadam secara sendiri.
Lapor The Guardian, gangguan tersebut menyebabkan kebanyakan gambar yang disiarkan sebelum Disember 2014 terpadam.
“Hakikatnya, tiada mana-mana `rangkaian media sosial’ yang hebat pada masa ini.
“Kami mungkin gagal sepertimana dijangkakan ramai namun kami akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik,” katanya dalam satu catatan di platform X.
Twitter dijenamakan semula sebagai X oleh Musk.
Minggu lalu, masalah teknikal yang berlaku menyebabkan platform itu memadamkan kebanyakan gambar dan pautan pada siaran dibuat sebelum Disember 2014.
Siaran berkenaan menunjukkan pautan tidak lengkap dan bukannya gambar serta video dimuat naik sebelum ini.
Beberapa pengguna menyedari masalah teknikal itu di platform tersebut termasuk pakar teknologi, Tom Coates yang membangkitkan isu berkenaan.
Coates menyifatkan masalah teknikal itu sebagai `vandalisme epik dilakukan Musk’ dan mendakwa ia mungkin merupakan taktik menjimatkan kos.
Berdasarkan laporan The Verge, beberapa pengguna media sosial membuat spekulasi kononnya gangguan itu dicetuskan bagi menjimatkan kos pada data penyimpanan.
“Pengguna lain pula mengaitkan masalah teknikal itu dengan perubahan dilakukan di platform pada tahun 2016 apabila ia menambah spesifikasi enhanced URL enrichment,” jelas laporan itu.