PARIS: Dua pelancong dari Amerika Syarikat (AS) ditemukan sedang tidur nyenyak di puncak Menara Eiffel di ibu negara Perancis, kelmarin.
Pengendali monumen, Sete berkata, kedua-dua lelaki itu menginap di menara tersebut setelah berjaya mengelak kawalan keselamatan pada malam sebelumnya.
Pengawal keselamatan mengejutkan pelancong berkenaan ‘pada awal pagi’ ketika membuat rondaan sebelum mercu tanda Perancis mula beroperasi pada pukul 9 pagi hari Isnin.
Menurut pendakwa raya Paris, kedua-dua pelancong itu kelihatan terperangkap dan tidak dapat keluar disebabkan berada dalam keadaan mabuk.
Pelancong yang mabuk itu dilaporkan bermalam di lokasi yang biasanya ditutup kepada orang ramai, antara tingkat dua dan tiga di menara itu.
Bagaimanapun, Sete menjelaskan individu berkenaan ‘tidak menimbulkan sebarang ancaman’.
“Selepas membayar tiket masuk kira-kira pukul 10:40 malam (waktu tempatan) pada Ahad lalu, kedua-dua pelancong itu melepasi halangan keselamatan semasa menuruni tangga dari puncak menara,” kata sumber polis.
Tambahnya, anggota bomba, termasuk pasukan unit pakar untuk mengeluarkan orang dari ketinggian berbahaya, terpaksa dikerahkan untuk membawa keluar penceroboh berkenaan.
Kedua-dua lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis di daerah ketujuh Paris untuk disoal siasat.
Menurut Sete, pihaknya akan memfailkan aduan jenayah. – AFP