ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan enggan mengalah sebaliknya terus mengajak penyokongnya mengadakan protes besar-besaran selepas didapati bersalah menjual hadiah negara yang diterima semasa lawatan ke luar negara.
SERU BANTAHAN
Dalam video yang disiarkan di platform media sosial X atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter, Imran menyeru penyokongnya untuk turun ke jalan-jalan dan mengadakan protes membantah keputusan tersebut.
“Saya hanya ada satu permintaan, satu rayuan untuk anda semua. Anda tidak boleh duduk diam di dalam rumah. Perjuangan yang saya lakukan bukan untuk diri saya sendiri, ia untuk negara dan untuk kamu semua. Demi masa depan anak-anak kamu.
“Jika anda tidak mempertahankan hak anda, anda akan hidup sebagai hamba dan hamba tidak mempunyai kehidupan,” tegasnya dalam video tersebut.
Imran turut menyebut tentang ‘rancangan London’, istilah yang digunakannya merujuk kepada dakwaan komplot antara Ketua Tentera, Jeneral Asim Munir dan bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif untuk mengusirnya daripada politik.
Wartawan Al Jazeera, Kamal Hyder melaporkan, beribu-ribu penunjuk perasaan yang bertindak balas terhadap penahanan Imran pada 9 Mei lalu berdepan pertuduhan serius, dengan beberapa penyokongnya sedang dibicarakan di mahkamah tentera.
“Ia akan menjadi menarik untuk melihat sama ada akan ada reaksi yang kuat atau tidak kali ini. Setakat ini, hanya beberapa puluh penyokong Imran berkumpul di luar kediamannya sambil melaungkan slogan.
“Kami sedang memantau keadaan tetapi pada masa ini kami tidak menjangkakan reaksi yang kuat,” katanya.
Lebih 150 kes dikemukakan terhadap bekas perdana menteri itu sejak beliau kalah dalam undi tidak percaya dan dilucutkan jawatan pada April tahun lalu.
Imran menafikan sebarang salah laku dan berkata tuduhan itu bermotifkan politik namun sabitan dalam kes itu boleh menamatkan peluangnya menyertai pilihan raya yang bakal diadakan sebelum November ini.
Penganalisis Politik, Benazir Shah berkata, walaupun Imran berada di dalam penjara, beliau masih boleh menimbulkan risiko kepada pesaingnya dengan meletakkan kedudukannya di belakang calon bebas atau kurang dikenali.
DITAHAN POLIS
Polis dilaporkan menahan bekas pemain kriket berusia 70 tahun itu di bandar timur Lahore selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepadanya kerana menjual hadiah negara secara haram.
Imran dituduh menyalahgunakan jawatan perdana menteri dari tahun 2018 hingga 2022 untuk membeli dan menjual hadiah milik negara bernilai lebih 140 juta rupee Pakistan (RM2.2 juta).
“Ketidakjujurannya terbukti tanpa keraguan. Beliau didapati bersalah atas amalan rasuah dengan menyembunyikan faedah yang diperolehnya daripada perbendaharaan negara secara sengaja,” tulis Hakim, Humayun Dilawar dalam keputusan itu.
Keputusan mahkamah berkenaan termasuk denda berjumlah 100,000 rupee Pakistan (RM1,586) yang wajib dibayar atau boleh memanjangkan jumlah hukuman penjara kepada enam bulan lagi.
Peguamnya, Intezar Panjotha berkata, polis menahan Imran di kediamannya di Lahore dan media Pakistan melaporkan melihat pihak berkuasa mengelilingi lokasi itu selepas keputusan dikeluarkan.
“Kami memfailkan petisyen terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi,” tambah Panjotha.