China selaraskan zon masa di seluruh negara untuk kawal rakyat

China selaraskan zon masa di seluruh negara untuk kawal rakyat

KASHGAR terletak pada latitud yang hampir sama dengan Ankara di Turkiye iaitu matahari terbenam beberapa jam lebih awal. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ramai penduduk kawasan pinggir bandar Kashgar di wilayah Xinjiang menyaksikan matahari musim panas terbenam ketika waktu tengah malam selepas Parti Komunis China memutuskan semua negeri beroperasi dalam zon waktu yang sama dengan Beijing.

Bandar Kashgar terletak pada latitud yang hampir sama dengan ibu negara Turkiye di Ankara di mana matahari terbenam beberapa jam lebih awal.

MASA DAN POLITIK

Ini bermakna jam di Kashgar adalah kira-kira tiga jam lebih awal daripada masa yang ditentukan oleh lokasi geografi bandar itu.

“Senja tengah malam bersama keluarga saya adalah antara kenangan terindah yang saya miliki dari zaman kanak-kanak saya di Xinjiang.

“Tetapi pada masa yang sama, fenomena itu juga menunjukkan bagaimana pihak berkuasa China mahu mengawal segala-galanya di Xinjiang, malah waktu kita,” kata penduduk, Shamsed kepada Al Jazeera di San Diego, California.

Pakar Sejarah dan Politik China Universiti St Thomas Houston, Yao Yuan Yeh berkata, masa adalah politik di China dan sering digunakan untuk menyemai rasa saling berhubung dan mengawal.

Katanya, di bawah pemerintahan Presiden ,Xi Jinping yang mula berkuasa pada 2012, terdapat tumpuan baharu untuk mengasimilasikan minoriti China ke dalam budaya dominan negara itu yang dipromosikan oleh Parti Komunis.

“Disebabkan itu, pihak berkuasa mengambil sikap yang lebih tegas terhadap sebarang jenis tanggapan pemisah dalam kalangan kumpulan minoriti, termasuk sebarang idea tentang pemilikan zon waktu yang berasingan.

“Ia digunakan untuk mengukuhkan naratif rasmi sebuah negara China yang bersatu di bawah pemerintahan Parti Komunis,” jelasnya.

Menurut Yuan Yeh, minoriti lain di China juga wajib menjaga waktu kerana tindakan itu berada di bawah pemeliharaan ketat pihak berkuasa pusat China.

“Bagi minoriti lain di kawasan luar China seperti orang Tibet dan Mongolia, masa juga dikawal dari Beijing,” katanya.

KAWALAN MELALUI MASA

Seorang penduduk, Payzulla Zaydun, 56, berkata, waktu sering menjadi titik perbalahan antara warga Uighur di Xinjiang dan pihak berkuasa di Beijing.

Katanya, ibu kota wilayah Xinjiang, Urumqi, secara geografinya adalah dua jam di belakang Beijing.

Ketika dia menghadiri universiti di Urumqi pada 1980-an dan 1990-an, beberapa rakan pelajar Uighurnya sengaja tiba dua jam lewat ke kelas jika kuliah hanya disenaraikan dalam waktu Beijing.

“Mereka percaya bahawa masa Xinjiang harus digunakan di Xinjiang dan terdapat satu perasaan bahawa sebagai seorang Uighur ada tanggungjawab untuk menegakkan waktu tempatan,” katanya.

Menurut Payzulla, banyak kedai dan perniagaan tempatan di Urumqi turut dibuka dan ditutup mengikut perbezaan masa dua jam dalam pematuhan waktu tempatan berbanding waktu Beijing.

Bagaimanapun, menegakkan waktu tempatan di Xinjiang lebih sukar ketika ini kerana kawalan ketat kerajaan China.

“Jika anda secara terbuka mencabar masa Beijing sekarang, anda boleh didakwa kerana subversif.

“Ibu saya yang sudah tua tidak pernah menggunakan masa Beijing sebelum ini, tetapi beberapa tahun lalu dia tiba-tiba mula menggunakan masa Beijing apabila kami bercakap di telefon kerana dia takut akibatnya jika dia tidak melakukannya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya