BEIJING: Agensi keselamatan China muncul buat pertama kali di media sosial kelmarin dengan gesaan mengejutkan kepada setiap orang awam supaya menyertai usaha antipengintipannya.
Dalam catatan pertamanya di rangkaian popular WeChat, organisasi rahsia itu malah menegaskan, satu sistem yang dapat memudahkan orang ramai terlibat memainkan peranan mereka dalam usaha tersebut mesti diwujudkan.
“Seluruh masyarakat mesti bergerak menentang pengintipan! Pengintipan adalah tindakan yang sangat tersembunyi, profesional dan perbuatan haram serta jenayah yang berbahaya.
“Ia bukan sahaja memerlukan organisasi keselamatan negara untuk memainkan peranan sebagai agensi anti pengintipan khusus, tetapi juga memerlukan penyertaan meluas daripada rakyat,” kata Kementerian Keselamatan Negara dalam catatan pertamanya di WeChat.
Menurut catatan itu, akaun media sosial berkenaan bertujuan membantu kementerian menggalakkan kesedaran tentang undang-undang yang perlu diberi perhatian dan menyediakan cara yang mudah diakses ketika melaporkan aktiviti mencurigakan.
Jelasnya lagi, undang-undang baharu turut ditetapkan untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu mahu pun organisasi yang melaporkan pengintipan atau membuat sumbangan penting kepada kerja-kerja anti-pengintipan.
Lapor Bloomberg, kenyataan itu menandakan peningkatan usaha antipengintipan oleh Beijing sejak undang-undang baharu berkuat kuasa bulan lepas.
Undang-undang itu turut memperluaskan senarai aktiviti yang boleh dianggap sebagai pengintipan termasuk skop bagi pihak berkuasa untuk menjalankan penyiasatan dan mengharamkan lintasan sempadan, sekali gus meningkatkan risiko kepada firma asing.
Pada Mei lalu, pihak berkuasa China menyerbu firma perundingan dan usaha wajar yang membantu pelabur global memahami ekonomi Asia termasuk Capvision Pro Corp, yang mempunyai ibu pejabat di Shanghai dan New York atas tuduhan membocorkan rahsia negara.