NEW DELHI: Peta standard China 2023 yang disiarkan oleh Kementerian Sumber Asli republik itu merangkumi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan di India yang dituntut oleh Beijing.
Peta itu dikeluarkan semalam sempena sambutan Hari Publisiti Pemetaan dan Minggu Kesedaran Pemetaan Kebangsaan.
Peta standard China 2023 itu juga menggabungkan beberapa kawasan yang dipertikaikan termasuk tuntutan republik itu ke atas Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.
Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Peta terbaharu itu menyusuli pengumuman Beijing pada April lalu yang menyatakan republi tersebut akan `melaksanakan standard’ bagi nama 11 tempat di Arunachal Pradesh termasuk sebuah bandar berhampiran dengan ibu negara Arunachal Pradesh, Itanagar.
Ia juga merupakan senarai ketiga ‘toponim’ untuk tempat di Arunachal Pradesh dan dianggap oleh para pemerhati sebagai tindak balas terhadap tindakan India yang menganjurkan acara menjelang sidang kemuncak G-20 di negeri itu, acara ditentang oleh Beijing.
Presiden China, Xi Jinping dijangka menghadiri sidang kemuncak itu yang bakal diadakan pada 9 dan 10 September di New Delhi.
Setelah peta itu didedahkan kepada umum, Kementerian Sumber Asli China dilaporkan merancang untuk melaksanakan peta digital dan navigasi’ untuk digunakan dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan berasaskan lokasi, pertanian, ekonomi dan kenderaan pintar’. – AGENSI