BEIJING: Musim panas tahun ini menyaksikan China berdepan kedua-dua fenomena ekstrem serentak dengan beberapa bahagian di negara itu mengalami cuaca panas melampau ketika kawasan lain dilanda banjir besar luar biasa.
Pada bulan Jun lalu, utara China berdepan cuaca hangat membakar dengan suhu melambung melebihi 40 darjah Celsius minggu demi minggu.
CUACA EKSTREME
Kemudian Beijing dilanda hujan lebat membawa limpahan air menyamai kitaran selama sebulan yang dilaporkan berlaku hanya dalam tempoh 24 jam awal bulan ini.
Pakar Geografi Universiti Montana, Profesor Cascade Tuholske berkata, cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim adalah masalah besar bagi China kerana populasinya yang padat dan statusnya sebagai ekonomi global kedua terbesar dunia.
“Mekanisme yang memacu peristiwa individu atau peristiwa kompaun seperti gelombang panas dan banjir yang memberi kesan kepada China pada musim panas ini adalah sangat rumit, tetapi perubahan iklim menjadikan kejadian ekstrem lebih biasa dan lebih teruk.
Lapor BBC, banjir besar kali ini melanda kawasan yang jarang sekali berdepan bencana sedemikian dengan saintis menyalahkan perubahan iklim dan memberi amaran fenomena terburuk masih boleh berlaku.
“Saya tidak pernah melihat banjir di sini sepanjang hidup saya. Kami benar-benar tidak menjangkakannya,” kata penduduk, Zhang Junhua ketika berdiri berhampiran kawasan sawah padi yang musnah teruk.
Katanya, penduduk di kawasan itu selamat kerana diberi banyak amaran untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi, tetapi kini menghadapi beberapa bulan yang sukar selepas pulang ke rumah mereka.
Kemusnahan di wilayah Heilongjiang di timur laut China dilaporkan memberi kesan besar kepada bekalan makanan untuk seluruh negara.
Bulan ini, 40 peratus daripada tanaman padi Wuchang yang terkenal musnah dengan kawasan yang sebelumnya menghijau kini berwarna coklat dan dipenuhi rumput mati.
“Ladang tanaman kami semuanya tenggelam. Kami tidak boleh menanam lagi tahun ini.
“Kerugian tidak dapat dikira. Kami mempunyai puluhan ribu ekar sawah di sini. Ia memusnahkan segala-galanya dan saya takut taufan akan kembali,” kata petani, Zhao Lijuan.
TIDAK BERSEDIA
Sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh dalam insiden banjir baru-baru ini.
Namun kesan kepada ekonomi menjadi lebih luas di negara yang sudah bergelut untuk pulih berikutan tiga tahun langkah kawalan Covid-19 yang ketat.
Dalam tempoh lebih sedekad, jumlah banjir yang direkodkan di negara ini meningkat puluhan kali ganda.
Pada musim panas 2011, terdapat enam hingga lapan banjir bulanan yang disenaraikan di China tetapi tahun lalu sahaja, lebih 130 bencana tersebut direkodkan pada Julai dan 82 lagi pada Ogos.
Kajian Greenpeace dari dua tahun lalu, menggunakan pemetaan panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapati gelombang haba dan hujan melampau akan memanjangkan musim panas selama satu bulan pada abad ini di wilayah sekitar Beijing dan Shanghai.
Di delta Sungai Mutiara, musim panas akan menjadi lebih daripada 40 hari.
Bagaimanapun, dalam menghadapi potensi malapetaka, Pakar Greenpeace, Dr. Zhao Li dari memberi amaran bahawa ramai penduduk tidak bersedia dengan perubahan ekstrem yang akan berlaku.
“Kami tidak bersedia untuk kejadian cuaca ekstrem. Pengalaman terkini daripada banjir menggariskan perkara itu,” katanya.