Budak perempuan diragut hingga mati, rakyat Argentina desak tangguh PRU - Utusan Malaysia

Budak perempuan diragut hingga mati, rakyat Argentina desak tangguh PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Seorang kanak-kanak perempuan Argentina berusia 11 tahun meninggal dunia semalam selepas beg sekolahnya diragut dan menjadi mangsa serangan fizikal ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.

Tragedi itu mencetuskan bantahan rakyat terhadap peningkatan jenayah dan mendorong ahli politik menangguhkan kempen pilihan raya.

Negara itu sepatutnya mengadakan pilihan raya utama pada Ahad, menjelang Pemilihan Presiden pada 22 Oktober, dalam keadaan inflasi berleluasa dan ketenteraman awam semakin terjejas, menyebabkan pengundi bertambah bimbang.

Saksi yang bercakap kepada stesen televisyen tempatan berkata, mangsa, Morena Dominguez, berjalan menuju ke sekolah apabila didekati peragut bermotosikal dari belakang, taktik biasa peragut sebelum suspek memukul dan merampas beg galasnya.

Dominguez dibawa ke hospital untuk dirawat, namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

Pengarah Pusat Kesihatan Evita, Javier Maroni berkata, ketika mangsa tiba di pusat kesihatan, dia sudah dalam keadaan kritikal dengan luka teruk di kepala dan mangsa akhirnya meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU).

Rakaman kamera keselamatan mengenai kes rompakan itu dimainkan di seluruh stesen televisyen negara sepanjang hari.

Tragedi yang berlaku di Lanus, selatan ibu kota Buenos Aires itu mendorong penduduk berkumpul sebagai tanda protes.

“Adakah kanak-kanak perlu mati untuk memperoleh keselamatan?,” persoal ibu kanak-kanak itu, Maria, seperti disiarkan saluran berita A24.

Saksi lain dilaporkan berkata, ambulans mengambil masa 40 minit untuk tiba di lokasi kemalangan.

Menteri Keselamatan Wilayah, Sergio Berni, berkata dua samseng motosikal sudah diberkas.

Calon utama untuk pemilihan parti politik negara itu menangguhkan perhimpunan pilihan raya terakhir mereka yang dijadualkan semalam dan hari ini.

Presiden Alberto Fernandez tidak berhasrat untuk dipilih semula dan anggota parti pemerintah yang mendahului ialah Menteri Ekonomi, Sergio Massa.

Keputusan saingan untuk calon pembangkang sayap kanan kurang jelas, dengan Datuk Bandar Buenos Aires, Horacio Larreta dan bekas Menteri Keselamatan, Patricia Bullrich, kedua-duanya bertanding.

Argentina mempunyai salah satu daripada kadar pembunuhan terendah di Amerika Latin dengan 4.2 orang bagi setiap 100,000 dibunuh pada tahun lalu.

Bagaimanapun, jenayah kecil meningkat seiring dengan kemiskinan ketika kerajaan berjuang untuk mengekang ketidakstabilan ekonomi dan inflasi dari tahun ke tahun, yang kini mencecah 115 peratus. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya