BARCELONA: Majlis Perbandaran Barcelona mengedarkan air dan topi kepada gelandangan termasuk menyediakan kem perlindungan iklim ketika bandar itu bergelut dengan gelombang panas yang terus melanda selatan Eropah.
Menurut The Guardian, suhu pada waktu siang di bandar itu mencecah 38.8 darjah Celsius Rabu lalu, melepasi paras tertinggi yang direkodkan pada tahun 2010 dengan kelembapan tinggi menambah sensasi haba yang menyakitkan.
Pihak berkuasa dilaporkan turut mengarahkan individu yang terdedah ke tempat perlindungan iklim terdekat yang mempunyai ruang berhawa dingin dengan air pancut minuman.
Bandar itu turut melancarkan rancangan kecemasan menyiram 310,000 pokok berikutan insiden pokok palma kering tumbang dan membunuh seorang wanita muda awal bulan ini.
Sepanyol dilanda empat gelombang haba berturut-turut sejak Jun lalu, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius dijangka di seluruh negara.
Puluhan penduduk di kawasan utara Basque dan Cantabria dilaporkan terpaksa dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan berkaitan haba.
Gabungan cuaca panas dan kemarau turut meletakkan seluruh Sepanyol dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kebakaran hutan dengan kebanyakannya kini terkawal.
Presiden wilayah Kepulauan Canary, Fernando Clavijo berkata, kebakaran hutan di kawasan seluas 15,000 hektar di Tenerife tidak lagi merebak buat kali pertama dalam lebih seminggu.
Namun insiden serupa yang lebih kecil dilaporkan masih berlaku di Castilla y León di barat laut Sepanyol, menyebabkan banyak taman awam dan rizab alam semula jadi ditutup.