SYDNEY: Lima kanak-kanak dan bapa mereka dilaporkan hilang, dikhuatiri terkorban selepas sebuah rumah terbakar di Australia, semalam.
Kebakaran itu berlaku pada awal pagi semalam di sebuah Russell Island berhampiran Brisbane, memusnahkan rumah keluarga tersebut dan dua lagi kediaman berdekatan turut mengalami kerosakan.
Seorang wanita berusia 28 tahun yang dipercayai ibu kepada lima kanak-kanak tersebut terselamat daripada kebakaran itu dan kini menerima rawatan di hospital.
Jurucakap polis memaklumkan, wanita itu dalam keadaan ‘amat tertekan’ akibat insiden tersebut dan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘sangat menyedihkan’.
“Rumah itu musnah sepenuhnya, tiada satu pun yang terselamat.
“Seramai enam orang terkorban dalam kebakaran itu, seorang lelaki berusia 34 tahun, lima kanak-kanak yang masing-masing berusia 11,10, kembar umur empat tahun dan paling kecil, tiga tahun,” kata jurucakap polis tersebut.
Kejadian itu turut ditangisi komuniti di kawasan tersebut yang menyifatkan kesemua mangsa merupakan keluarga bahagia.
Selain itu, polis memaklumkan, ibu kesemua kanak-kanak tersebut berada di rumah ketika kebakaran berlaku dan sempat melarikan diri.
“Ketika ini, wanita tersebut dirawat di hospital dan mengalami gangguan emosi, namun tiada kecederaan fizikal yang serius,” jelas jurucakap berkenaan.
Seramai sembilan orang turut cedera dalam insiden tersebut. – AFP