BEIJING: Angka korban akibat hujan lebat di seluruh China meningkat sekurang-kurangnya 78 orang.
Pihak berkuasa juga memberi amaran lebih banyak bencana banjir diramal berlaku, termasuk ancaman taufan.
Kematian akibat banjir di wilayah Hebei meningkat 29 orang selepas Ribut Doksuri membawa hujan lebat luar biasa.
Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa yang dihanyutkan arus banjir.
Sejumlah jalan di Hebei masih diselaputi dengan lumpur tebal dan penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing.
Setakat ini, 16 orang dilaporkan hilang akibat bencana alam itu.
Di Beijing, 33 orang terbunuh, termasuk dua anggota penyelamat.
Selain itu, puluhan lagi terkorban di wilayah Jilin selepas hujan lebat turun tanpa henti sejak minggu lalu.
Sementara itu, hujan lebat diramal terus berlaku sehingga hujung minggu ini ketika ribut Khanun ‘dalam perjalanan’ ke negara ini.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran di beberapa tempat di utara China sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP