LONDON: Britain memberi amaran kepada rakyatnya yang akan melakukan perjalanan ke Sweden terhadap kemungkinan berlakunya serangan pengganas.
Ini berikutan insiden membakar al-Quran oleh para aktivis anti-Islam, yang sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.
Dalam satu nasihat perjalanan yang dikemas kini, kementerian luar Britain menyatakan bahawa pihak berkuasa Sweden berjaya mematahkan beberapa serangan yang dirancang dan menangkap sebilangan individu.
Kementerian tersebut menegaskan supaya orang ramai bersikap berwaspada pada ketika ini, sambil menambah bahawa ‘pengganas kemungkinan besar akan cuba dan menjalankan serangan di Sweden’ di tempat-tempat yang dikunjungi warga asing sebagai lokasi sasaran yang berpotensi.
Dalam satu kenyataan yang merujuk kepada nasihat perjalanan Britain yang dikemas kini, penasihat keselamatan negara Sweden, Henrik Landerholm juga menekankan lagi ancaman ke atas Sweden yang kian meningkat sejak insiden membakar al-Quran.
Landerholm menambah bahawa insiden serbuan ke atas kedutaan Sweden di Iraq pada 19 Julai, serangan yang cuba dilakukan ke atas kedutaan Sweden di Lebanon pada 9 Ogos, serta insiden tembakan terhadap seorang kakitangan di konsulat Sweden di Turki pada 1 Ogos menyumbang kepada penilaian risiko tersebut.
Kerajaan AS turut memberi amaran terhadap serangan pengganas yang mungkin berlaku di Sweden dalam nasihat perjalanannya yang dikeluarkan itu.