BUAN: Sekurang-kurangnya 36,000 peserta Jambori Pengakap Sedunia mula dipindahkan, dari tapak perkhemahan di barat daya Korea Selatan ke kawasan lebih selamat, terutamanya di sekitar ibu negara menjelang ketibaan Taufan Khanun.
Taufan itu yang sudah pun membadai selatan Jepun, diramal melanda selatan negara ini pada Khamis dengan membawa hujan lebat dan angin kencang.
Fenomena alam itu menjadi cabaran terbaharu kepada program yang berlangsung selama 10 hari itu.
Sebelum ini, ratusan peserta jatuh sakit akibat gelombang haba yang juga menyebabkan kontinjen pengakap dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) menarik diri lebih awal.
Menurut pihak berkuasa, lebih 1,000 bas disediakan untuk membawa kira-kira 36,000 peserta dari lebih 150 negara itu keluar dari tapak perkhemahan tersebut.
Menteri Dalam Negeri Korea Selatan, Lee sang-min berkata, konvoi berkenaan akan diiringi kereta peronda dan helikopter polis.
Katanya, lebih 16,000 pengakap akan ditempatkan di Seoul dan sekitar wilayah Gyeonggi, manakala selebihnya dibawa ke enam kawasan lain di negara ini.
“Setiap kerajaan tempatan akan memastikan aspek kebersihan dan tandas di kemudahan terbabit,” katanya.
Penganjur pula memaklumkan, kebanyakan peserta akan mempunyai bilik sendiri atau berkongsi bilik dengan seorang lagi.
Kebanyakan tempat penginapan adalah asrama universiti, pusat latihan institusi awam dan kemudahan pendidikan.
Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Gerakan Pengakap Sedunia, Ahmad Alhendawi dalam satu kenyataan berkata, cabaran rumit sedemikian adalah kali pertama dihadapi dalam tempoh lebih 100 tahun penganjuran Jambori Pengakap Sedunia.