LONDON: Beberapa pakar menjangkakan masalah kelewatan penerbangan masih akan berterusan sehingga minggu ini di United Kingdom (UK) meskipun `isu teknikal’ yang mengganggu kawalan trafik udara negara itu sudah pun diperbaiki.
Gangguan sistem yang dialami berpunca daripada kegagalan rangkaian mengakibatkan beribu-ribu pengembara terkandas.
Lapor Daily Mail, sebanyak 80 peratus penerbangan yang meninggalkan UK terpaksa ditangguhkan semalam berikutan `gangguan besar’ dalam sistem kawalan trafik udara negara itu.
Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS) Britain mengesahkan pihaknya mengalami `isu teknikal’ sehingga memaksa beralih daripada sistem automatik untuk mendarat serta menjadualkan penerbangan secara manual.
“Pelan penerbangan sedang dimasukkan secara manual dan ini secara tidak langsung bermakan kami tidak boleh memprosesnya pada kuantiti yang sama.
“Oleh itu, kami terpaksa melaksanakan sekatan aliran trafik,” jelas NATS.
NATS menyatakan pihaknya sudah menyelesaikan isu teknikal yang menjejaskan sistem kawalan trafik udara.
Malah, jelasnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain dan pengurusan lapangan terbang untuk membantu penerbangan terjejas.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Mark Harper mengakui walaupun isu teknikal itu sudah diselesaikan namun penerbangan masih terjejas.
Beribu-ribu penumpang mengalami kelewatan dan pembatalan penerbangan disebabkan oleh masalah teknikal kawalan trafik udara.
Berdasarkan data Radar Penerbangan, kira-kira 78 peratus penerbangan yang meninggalkan lapangan terbang Heathrow pada masa ini ditangguhkan berbanding 74 peratus di Gatwick, 81 peratus di Manchester dan 86 peratus di Bristol.
Analisis dijalankan oleh firma Cirium menunjukkan setakat ini, sebanyak 232 penerbangan dijadualkan berlepas dari lapangan terbang UK dibatalkan.
“Selain itu, sebanyak 271 penerbangan yang sepatutnya tiba di lapangan terbang UK juga dibatalkan,” jelas laporan analisis itu.