THE HAGUE: Seorang aktivis berhaluan kanan Belanda memijak dan mengoyakkan kitab suci al-Quran dalam satu demonstrasi terbaharu di luar Kedutaan Turkiye di The Hague kelmarin.
Kerajaan Belanda dengan tegas mengutuk tindakan tersebut, namun menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kebebasan bersuara.
Edwin Wagensveld yang mengetuai kumpulan berhaluan kanan, Pegida mencemari kitab suci itu sambil ditemani dua lagi individu.
Tindakannya menyebabkan polis menutup akses jalan ke kedutaan tersebut, selain puluhan penunjuk perasaan turut hadir membantah perbuatan Wagensveld.
Ada dalam kalangan mereka membaling batu ke arah Wagensveld ketika dia mengoyakkan helaian al-Quran satu demi satu.
Kira-kira 20 polis lengkap berpakaian pelindung cuba meleraikan kekecohan itu apabila ada penunjuk perasaan cuba mengejar Wagensveld ketika dia beredar dari kawasan tersebut.
Terdahulu, Menteri Keadilan Belanda, Dilan Yesilgov yang berasal dari Turkiye menyifatkan rancangan untuk memusnahkan al-Quran sebagai ‘primitif dan menyedihkan’.
Wagensveld pada Januari lalu turut melakukan perbuatan yang sama dan menyamakan kitab suci itu sama seperti buku mengenai Adolf Hitler yang berjudul ‘Mein Kampf’.
Dalam perkembangan lain, polis Sweden menahan seorang wanita selepas dia menyembur aktivis anti-Islam, Salwan Momika dengan pemadam kebakaran ketika lelaki itu sekali lagi membakar al-Quran di luar Kedutaan Iran di Stockholm.
Rakaman video menunjukkan wanita itu berlari ke arah Salwan dan menyemburnya dengan pemadam kebakaran.
Polis kemudiannya menghalang wanita tersebut dan menahannya.
Demonstrasi Salwan terhenti seketika akibat tindakan wanita tersebut, namun dia kemudiannya menyambung semula protes.
Menurut polis, wanita itu ditahan kerana menganggu ketenteraman awam dan polis.