KAZAN: Seorang pempengaruh dari Russia dipercayai meninggal dunia akibat mengamalkan diet melampau termasuk hanya makan buah-buahan eksotik.
Lapor Daily Mail, Zhanna D’Ar atau nama sebenarnya Zhanna Samsonova mengamalkan makanan mentah berasaskan sayuran dan buah-buahan selama 10 tahun.
Malah, wanita berusia 39 tahun itu juga pernah `berpuasa secara berterusan’ selama beberapa hari.
Zhanna yang hanya mengamalkan minuman jus buah-buahan dan sayuran tanpa meminum air kosong selama lebih enam tahun didakwa meninggal dunia di Malaysia pada 21 Julai lalu.
Pempengaruh media sosial itu yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman Instagram sudah mengembara ke seluruh Asia sejak 17 tahun lalu.
Akhbar Vechernyaya Kazan melaporkan, ibu Zhanna iaitu Vera Samsonova mengaitkan kematian anak perempuannya berpunca akibat jangkitan bakteria seperti kolera, yang diburukkan lagi dengan pengamalan diet ekstrem itu.
Setakat ini, punca kematian Zhanna masih belum diketahui memandangkan keluarganya dalam proses untuk membawa
pulang mayat pempengaruh itu ke Russia.
Dalam pada itu, Vera berkata, Zhanna sepatutnya pulang ke Kazan untuk berjumpa keluarga pada hari kejadian namun sudah ajalnya dia meninggal dunia.
Kata Vera, dia tidak bersetuju dengan tabiat pemakanan anaknya, malah pernah menasihati Zhanna beberapa kali untuk
mengamalkan diet seimbang namun anaknya enggan berbuat demikian.
Jelasnya, rakan-rakannya juga memberi amaran mengenai diet melampau itu tetapi dia sering tidak menghiraukannya.
Sementara itu, seorang rakan Zhanna mendakwa pernah melihat pempengaruh itu yang kelihatan sangat letih dengan kakinya bengkak semasa berada di Sri Lanka, beberapa bulan sebelum kematiannya.