ROM: Sekurang-kurangnya 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam minggu lalu di Mediterranean.
Agensi penyelamat di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, empat mangsa yang ditemui selamat semalam sudah dibawa ke pulau Lampedusa, Itali.
Bot besi yang dinaiki mereka terbalik dalam cuaca buruk antara malam Khamis dan Jumaat lalu sejurus berlepas dari pelabuhan Sfax di Tunisia, menurut kenyataan bersama agensi PBB untuk pelarian, kanak-kanak dan penghijrahan.
Katanya, mereka yang terselamat itu termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang bersendirian, seorang wanita dan dua lelaki, selepas hanyut selama beberapa hari sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal dagang pada Selasa.
Semalam, mereka dibawa ke Lampedusa oleh pengawal pantai Itali.
Dalam kenyataan berasingan, Palang Merah Itali yang menguruskan pusat penerimaan PATI di pulau itu, berkata keempat-empat mereka berada dalam keadaan sihat.
Katanya, mereka dilaporkan berasal dari Ivory Coast serta Guinea dan tidak kaitan dengan PATI lain yang hilang.
Pada Isnin lalu, pegawai melaporkan 16 PATI maut dalam tragedi kapal karam di luar pantai Tunisia dan Sahara Barat.
Sehari sebelum itu, agensi migrasi PBB, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), berkata sekurang-kurangnya 30 orang hilang selepas dua kapal karam di Lampedusa.
Pulau kecil itu, terletak hanya 145 kilometer (km) dari Tunisia, adalah pelabuhan pertama bagi ramai PATI dari Afrika Utara menuju ke Eropah.
Bagaimanapun, ramai dalam kalangan mereka tidak dapat bertahan, menjadikan laluan PATI merentasi laut di Mediterranean Tengah itu perjalanan yang paling banyak meragut nyawa di dunia.
Lebih 1,800 orang maut semasa cuba melepasi laluan berkenaan setakat tahun ini, menurut angka IOM sehingga Jumaat lalu iaitu lebih daripada dua kali ganda kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pegawai akhbar IOM, Flavio Di Giacomo, berkata bot PATI itu mungkin tidak cukup tahan lasak untuk jenis cuaca buruk yang melanda lautan di Mediterranean Tengah pada minggu lalu.
“PATI dari sub-Sahara (berlepas dari Tunisia) terpaksa menggunakan bot besi yang murah dan berpotensi pecah selepas 20 atau 30 jam berlayar.
“Dengan keadaan laut seperti ini, bot sebegini mudah terbalik, malah mungkin terdapat lebih banyak kapal karam yang tidak kita ketahui, itulah yang menakutkan kita sebenarnya,” katanya kepada AFP, semalam.
Tambah beliau, pihak mendalangi operasi pemerdagangan manusia yang menghantar PATI ke laut dalam keadaan sedemikian adalah satu perbuatan jenayah kerana dengan sengaja membahayakan nyawa manusia.
Hampir 94,000 PATI mendarat di pantai Itali setakat tahun ini, menurut angka Kementerian Dalam Negeri, peningkatan daripada hampir 45,000 PATI dalam tempoh sama tahun lalu.