BEIJING: Seramai 33 orang disahkan maut, manakala 18 lagi masih hilang selepas Beijing dibadai hujan ribut paling lebat pernah direkodkan, lapor pegawai.
Menurut pegawai, kebanyakan mangsa terkorban disebabkan banjir dan bangunan runtuh dengan jumlah berkenaan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding angka diberikan pegawai Selasa lalu.
Ibu negara China dilanda hujan lebat beberapa minggu lalu, merosakkan infrastruktur dan membanjiri kawasan pinggir bandar dan sekitarnya.
Timbalan Datuk Bandar Beijing, Xia Linmao dalam sidang akhbar yang disiarkan CCTV turut merakam ucapan takziah kepada mangsa bencana alam itu.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas dan mangsa yang maut akibat bencana itu,” katanya.
Laporan Kementerian Pengurusan Kecemasan memaklumkan , Beijing merekodkan 147 kematian atau kehilangan disebabkan oleh bencana alam sepanjang bulan lepas.
“Daripada jumlah itu, 142 disebabkan oleh banjir atau bencana geologi,” jelas laporan itu.
Di Heilongjiang, media kerajaan melaporkan berpuluh-puluh sungai menyaksikan paras air naik melebihi penanda amaran sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya masih dibayangi rasa takut apabila mengingati kembali kejadian banjir baru-baru ini akibat hujan lebat berterusan dan air sungai yang semakin meningkat.
“Keadaan sangat memudaratkan jika kita tidak berjaya memindahkan penduduk kampung tepat pada masanya,” kata pegawai polis Jiangxi, Zheng Xiakang.- AFP