15,000 tentera New Zealand tidak cergas, aset usang

15,000 tentera New Zealand tidak cergas, aset usang

ANGGOTA pasukan tentera New Zealand mengambil bahagian dalam sesi latihan di pangkalan latihan Kementerian Pertahanan Britain (MOD) di selatan England.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand mendedahkan, pasukan tentera negara itu memerlukan rombakan besar berikutan masalah peralatan yang semakin uzur dan kesukaran merekrut kakitangan.

Menurut kajian semula dasar yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Chris Hipkins dan Menteri Pertahanan Andrew Little, pasukan pertahanan negara Pasifik Selatan yang berjumlah kira-kira 15,000 orang tidak cukup cergas dan bersedia untuk bertindak balas terhadap cabaran masa depan.

Menurut kajian semula itu, tentera New Zealand dibentuk untuk persekitaran strategik yang agak ‘jinak’, tidak mengikut keadaan semasa di rantau itu dalam mengendalikan cabaran perubahan iklim serta persaingan strategik yang sengit antara China dan Barat.

Little berkata, New Zealand perlu melabur dalam pasukan yang mampu bertempur dan tidak boleh hanya mengharapkan untuk dilindungi oleh persekitarannya yang terpencil.

“Mencetus perubahan dalam persekitaran keselamatan domestik dan antarabangsa bermakna tindak balas serta tahap kesediaan kami juga mesti berubah.

“Kita mesti bersedia untuk melengkapkan diri dengan kakitangan terlatih, aset, material, dan hubungan antarabangsa yang sesuai bagi melindungi pertahanan serta keselamatan negara kita sendiri,” tegasnya.

Pengumuman rombakan ketenteraan itu dibuat semasa rundingan penting mengenai peranan New Zealand dalam perikatan kerjasama melibatkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang bertujuan menentang kebangkitan China di perairan Pasifik.

New Zealand sebelum ini mengambil kira penglibatan dalam perjanjian itu dengan berhati-hati dan berharap untuk mengelakkan kemarahan rakan dagang terbesarnya, Beijing.

Tetapi lewat bulan lalu, Hipkins berkata, New Zealand terbuka kepada perbualan mengenai kemungkinan peranan dalam bahagian pakatan yang tidak akan melanggar status bebas nuklearnya.

“China yang semakin berkuasa menggunakan semua instrumen kuasa negaranya dengan cara yang boleh menimbulkan cabaran kepada peraturan serta norma antarabangsa sedia ada.

“Beijing terus melabur dengan banyak dalam mengembangkan dan memodenkan ketenteraannya, malah semakin mampu mengunjurkan kekuatan ketenteraan dan separa tentera di luar wilayah terdekatnya termasuk merentasi Indo-Pasifik yang lebih luas,” katanya.

New Zealand menegaskan, akan berusaha meningkatkan kehadirannya di Pasifik, menjadi rakan kongsi pilihan bagi negara rantau itu dan membantu membina daya tahan terhadap keselamatan serta ancaman berkaitan iklim.

New Zealand turut bertanggungjawab kepada pertahanan negara-negara kecil di Pasifik termasuk Tokelau, Kepulauan Cook dan Niue dengan satu-satunya sekutu rasmi, Australia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya