HANOI: Seorang warga emas berusia 80 tahun di Vietnam mendakwa tidak pernah tidur selama 60 tahun.
Lapor Oddity Central, Thai Ngoc berkata, dia tidak pernah melelapkan matanya selepas mengalami demam semasa zaman mudanya sehingga mengakibatkannya sukar tidur.
Bagaimanapun, kata petani itu, insomnia kronik dialaminya tidak pernah menjejaskan aktiviti hariannya.
Ngoc mendakwa dia menghabiskan masa selama 60 tahun dengan berjaga tanpa tidur walaupun hanya untuk tempoh singkat.
“Saya tidak tahu sama ada insomnia dialami ini memberi kesan terhadap kesihatan saya atau tidak.
“Namun, saya masih sihat dan mampu melakukan kerja ladang secara normal seperti individu lain,” katanya kepada portal Thanh Nien.
Ahli keluarga, rakan dan jiran Ngoc memaklumkan mereka tidak pernah melihat warga emas itu tidur selama ini.
Ngoc yang dilahirkan pada 1942 mendakwa dia mengalami demam teruk ketika berusia 20 tahun.
Meskipun terselamat daripada demam dialaminya, ia menyebabkan Ngoc tidak boleh tidur lagi.
Menurut Ngoc, dia sudah mencuba pelbagai ubat dan rawatan tradisional termasuk pengambilan alkohol untuk menyembuhkan masalah tidur dialaminya, namun ia gagal menyembuhkannya.