WELLINGTON: Seorang wanita di New Zealand mendakwa dia minum air Coca Cola dalam kuantiti yang banyak untuk menghilangkan tulang ayam kecil yang tersekat pada kerongkongnya.
Beth Brash mengamalkan minuman air berkarbonat itu selepas dinasihatkan oleh seorang doktor di bilik kecemasan hospital.
Brash baru-baru ini menceritakan pengalaman dialaminya termasuk cara dia menghilangkan tulang ayam kecil yang tersekat pada kerongkongnya.
Katanya, kejadian itu berlaku selepas dia mencuba hidangan ayam di sebuah restoran kegemarannya yang terletak di Wellington.
“Ketika sedang menjamu hidangan pedas itu, saya mula merasa sesuatu tersekat pada kerongkong.
“Walaupun berasa kurang selesa, saya memutuskan untuk meninggalkan restoran tanpa mencetuskan sebarang masalah.
“Saya ingat rasa sakit itu akan hilang namun ia berlarutan sepanjang minggu itu,” katanya.
Tambah Brash, selepas tidak dapat menanggung kesakitan, dia pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) mengesahkan tulang ayam tersekat pada kerongkong saya dan memaklumkan perkara itu tidak perlu dibimbangkan.
“Mereka hanya menasihati saya untuk minum empat tin air Coca Cola untuk menghilangkan tulang ayam itu.
“Saya amat terkejut dengan petua diberikan oleh doktor namun setelah mencubanya, tekak saya mula berasa baik, malah pada keesokan harinya sudah kembali normal,” katanya.