PRETORIA: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menegaskan, sebarang percubaan untuk menahan Presiden Vladimir Putin dianggap seolah-olah cuba mengisytiharkan perang terhadap Russia.
Ramaphosa memaklumkan perkara itu dalam afidavit mahkamah dikeluarkan kelmarin yang menyaksikan Russia bertegas menjelaskan penangkapan Presidennya akan menjadi satu pengisytiharan perang.
Putin dijemput ke sidang kemuncak negara anggota BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) di Johannesburg bulan depan tetapi beliau menjadi sasaran waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dilema diplomatik Afrika Selatan tercetus selepas parti pembangkang terkemuka, Perikatan Demokratik (DA), cuba memaksa kerajaan untuk memastikan Putin ditahan dan diserahkan kepada ICC jika pemimpin berkenaan melangkah ke negara itu.
Dalam responsnya, Ramaphosa menyifatkan permohonan DA sebagai tidak bertanggungjawab dan menjelaskan Afrika Selatan sudah memohon pengecualian di bawah peraturan ICC berdasarkan fakta bahawa penahanan itu boleh mengancam keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara berkenaan.
“Tindakan itu tidak konsisten dengan perlembagaan kita dan seakan mengambil risiko untuk terlibat dalam peperangan dengan Russia. Ia juga bertentangan dengan tugas saya untuk melindungi negara.
“Penangkapan itu juga akan menjejaskan misi yang diketuai Afrika Selatan untuk menamatkan perang di Ukraine dan membekukan sebarang penyelesaian damai,” tulis Ramaphosa.
Perjanjian ICC menyatakan bahawa negara anggota harus berunding dengan mahkamah apabila mengenal pasti masalah yang mungkin menghalang pelaksanaan permintaan badan itu.
Mahkamah juga mungkin tidak meneruskan permintaan penangkapan jika tindakan tersebut memerlukan negara melanggar peraturan antarabangsa mengenai imuniti diplomatik.
Putin diburu oleh ICC atas tuduhan Russia menghantar pulang kanak-kanak Ukraine secara tidak sah.
Timbalan Presiden Afrika Selatan, Paul Mashatile berkata, kerajaan sudah cuba memujuk Putin supaya tidak menghadirkan diri tetapi setakat ini tidak berjaya.-AGENSI