Video wanita bogel diarak burukkan lagi imej India

Video wanita bogel diarak burukkan lagi imej India

ANGGOTA Kongres Belia India melakukan protes di New Delhi bagi membantah keganasan seksual terhadap wanita dan menuntut kestabilan di Manipur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANIPUR: Sebuah video menunjukkan berpuluh-puluh lelaki berarak dan menyerang dua wanita yang dibogelkan di Manipur, India tular di media sosial baru-baru ini hingga mencetuskan kemarahan ramai di negara itu.

Video berdurasi 26 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki kelihatan seawal usia 15 tahun meraba-raba dan menyerang secara seksual wanita dari etnik Kuki-Zo sebelum membawa mereka ke arah padang kosong.

INSIDEN KEJAM

Menurut laporan maklumat pertama (FIR) yang dibuat oleh mangsa yang terselamat, wanita berusia 21 tahun itu kemudian dirogol beramai-ramai sementara seorang lagi wanita lain yang turut dibawa ke kawasan itu berusia 42 tahun.

Insiden itu berlaku pada 4 Mei lalu, sehari selepas rusuhan etnik maut yang tercetus antara kaum Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dengan etnik Kuki-Zo beragama Kristian di negeri terpencil di timur laut India yang ditadbir oleh parti nasionalis Bharatiya Janata (BJP).

Kaum Meitei membentuk lebih separuh daripada 3.5 juta penduduk Manipur, kebanyakannya tinggal di ibu kota Imphal dan lembah yang kaya di sekelilingnya, manakala suku Kuki-Zo dan Naga tinggal di daerah berbukit.

Sekurang-kurangnya 130 orang kebanyakannya etnik Kuki-Zo terbunuh sementara lebih 50,000 kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran antara kedua-dua komuniti tercetus berhubung cadangan melanjutkan pemberian peluang dalam jawatan kerajaan dan pendidikan kepada Meitei.

Video itu muncul selepas lebih dua bulan kejadian berlaku berikutan larangan internet di Manipur sejak 3 Mei lalu, tindakan yang dikritik secara meluas oleh aktivis hak asasi manusia di India.

Kelmarin, Perdana Menteri India, Narendra Modi membuat kenyataan, menyifatkan kejadian itu membuatkan beliau sedih dan marah.

“Mana-mana masyarakat sivil harus malu dengannya,” katanya menjelang sidang Parlimen selepas ramai anggota pembangkang menuntut kenyataan Modi mengenai insiden di Manipur.

Mahkamah Agung India berkata, badan kehakiman itu amat terganggu dengan video tular berkenaan dan meminta kerajaan negeri serta persekutuan segera memaklumkan langkah-langkah yang diambil untuk menangkap pelaku.

“Dalam demokrasi berperlembagaan, ia tidak boleh diterima,” kata Ketua Hakim Negara India, DY Chandrachud.

LAMBAT BERTINDAK

Pegawai Polis Thoubal, Superitendan Sachidananda Soibam memberitahu Al Jazeera, pihaknya menerima video tular itu pada Rabu lalu.

Katanya, kelmarin polis sudah menahan seorang lelaki Meitei berusia 32 tahun, dikenali sebagai Khuirem Herodas yang merupakan salah seorang suspek di sebalik serangan terhadap dua wanita itu.

“Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kami akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pelaku, termasuk mempertimbangkan kemungkinan hukuman mati,” tulis Ketua Menteri Manipur, N Biren Singh di laman Twitter selepas penahanan itu.

Tetapi keluarga Kuki-Zo di Manipur mengatakan tindakan ini sudah terlambat dan menuduh pihak berkuasa negeri mahupun pusat tidak mengambil peduli terhadap nasib mereka.

Keluarga dua mangsa yang terselamat memberitahu, mereka sudah memfailkan aduan kepada polis berhubung kejadian itu pada 18 Mei lalu.

Tetapi pihak berkuasa mengambil masa lebih sebulan untuk memindahkan kes itu ke balai polis mengikut bidang kuasa jenayah itu berlaku.

Malah kata penduduk, walaupun laporan dibuat lebih awal, pihak berkuasa hanya bertindak selepas video itu tular di media sosial Rabu lalu.

Sumber pentadbiran polis di daerah berbukit di Manipur memberitah, terdapat masalah dalam proses undang-undang sejak keganasan bermula 3 Mei lalu apabila pihak berkuasa Imphal sukar memberi kerjasama terhadap mana-mana aduan yang didaftarkan oleh mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya