KYIV: Angkatan bersenjata Ukraine menerima bom berangkai yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Kyiv untuk meningkatkan serangan balas yang bergerak perlahan terhadap pencerobohan Russia.
Perkara itu disahkan komander tentera Ukraine Oleksandr Tarnavskyi kepada penyiar AS, CNN dalam satu temu bual.
“Kami baharu sahaja mendapatkannya. Kami belum menggunakannya lagi, tetapi senjata ini diketahui boleh mengubah medan perang secara radikal.
“Musuh juga memahami bahawa dengan mendapatkan peluru ini, kita akan mempunyai kelebihan,” katanya.
AS minggu lalu mengumumkan akan menghantar bom berangkai ke Ukraine, walaupun terdapat kebimbangan mengenai risiko jangka panjang yang ditimbulkan kepada orang awam.
Tarnavskyi bagaimanapun menegaskan, tentera Ukraine tidak akan menggunakan senjata itu di kawasan yang mempunyai penduduk padat.
“Rusia berpendapat bahawa kami akan menggunakannya di semua barisan hadapan. Ini jelas tidak benar,” katanya.
Presiden AS, Joe Biden berkata, keputusan itu ‘sangat sukar’ tetapi menegaskan Ukraine memerlukan peluru tambahan untuk mengisi semula stoknya yang kehabisan.
Senjata kontroversi itu boleh menguraikan sehingga beberapa ratus cas letupan kecil yang boleh kekal tidak meletup di dalam tanah dan mencetus risiko kepada orang awam selepas konflik selesai.
Senjata itu diharamkan oleh banyak negara terutamanya di Eropah yang menandatangani Konvensyen Oslo 2008 namun tidak melibatkan Russia, AS mahupun Ukraine.
Kremlin menegaskan akan bertindak balas jika senjata itu digunakan oleh Ukraine terhadap tenteranya.-AFP