KYIV: Ukraine mendakwa pasukan tenteranya berjaya menembak jatuh 20 dron dan dua peluru berpandu milik Russia dalam satu serangan yang berlaku semalaman.
Serangan itu turut mengakibatkan seorang maut dan empat lagi cedera di ibu negara Ukraine, Kyiv.
“Operasi pertahanan udara yang dilaksanakan berjaya. Sebanyak 20 dron jenis Shahed sudah dimusnahkan, semuanya ditembak jatuh oleh pasukan kami,” kata jurucakap tentera udara, Yuriy Ignat kepada saluran televisyen tempatan.
Dalam pada itu, tentera udara Ukraine menerusi kenyataan berasingan di Telegram mengesahkan kesemua dron itu dimusnahkan di wilayah Kyiv.
Terdahulu, pentadbiran tentera Kyiv memaklumkan dron itu `memasuki ruang udara Kyiv dari arah berlainan’.
Jelasnya, pasukan pertahanan udara berjaya memusnahkan `kira-kira 12 dron’ di ruang udara wilayah berkenaan.
Dilaporkan, serpihan dron dan peluru berpandu jatuh di lima bandar.
Seorang lelaki berusia 23 tahun dan remaja perempuan berumur 19 tahun dimasukkan ke hospital dengan luka serpihan.
Ketua pentadbiran tentera Kyiv, Sergiy Popko mengesahkan dua orang cedera akibat terkena serpihan yang jatuh di daerah Darnytsky.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada dua individu terbabit merupakan mangsa yang dibawa ke hospital.
Sementara itu, Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memaklumkan pasukan perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke daerah Solomyansky, Shevchenkivsky, Podilsky dan Darnytsky berikutan letupan berlaku di ibu negara.
Di daerah Podilsky, pasukan bomba menemukan `mayat seorang individu yang meninggal dunia’.
Klitschko berkata, dua orang sedang dirawat di hospital di daerah Darnytsky selepas serpihan yang jatuh menyebabkan sebuah bangunan kediaman rosak.
Tidak dapat dipastikan sama ada dua orang yang menerima rawatan di hospital merupakan individu sama disebut oleh pentadbiran tentera. – AFP