TUNIS: Tunisia dan Kesatuan Eropah (EU) menandatangani perjanjian perkongsian strategik bagi menangani isu penyeludupan manusia, selain mengetatkan penguatkuasaan di sempadan.
Perjanjian itu ditandatangani susulan peningkatan mendadak kemasukan pendatang dari negara Afrika Utara ke Eropah melalui pengangkutan laut, termasuk bot.
Perjanjian berjaya dimeterai selepas perbincangan selama berminggu-minggu sebelum ini.
Melalui perjanjian itu, Eropah turut menyatakan ikrar untuk memberikan bantuan berjumlah 1 bilion euro (RM5.07 bilion) kepada Tunisia.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, berkata dana itu bagi membantu ekonomi Tunisia yang terjejas, menyelamatkan kewangan negara dan menangani krisis penghijrahan.
“Ia mengandungi perjanjian untuk menumpaskan taktik penyeludupan manusia, mengukuhkan kawalan sempadan dan menambah baik sistem keluar masuk di pintu sempadan.
“Semua langkah penting ini adalah bagi mengukuhkan usaha menghentikan penghijrahan yang tidak teratur,” katanya di Twitter.
Ribuan pendatang tanpa izin dari Afrika memasuki bandar Sfax dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menuju ke Eropah menaiki bot penyeludup, yang mengakibatkan krisis penghijrahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi Tunisia.
Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyens, berkata blok itu akan memperuntuk 100 juta euro (RM508 juta) kepada Tunisia untuk membantunya memerangi penghijarahan haram.
Beliau berkata, perjanjian itu juga menggalakkan kestabilan makro-ekonomi, perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga hijau dan kemasukan pendatang yang sah.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Miloni, pula berkata perjanjian ini disifatkan sebagai langkah penting ke arah mewujudkan kerjasama sebenar di antara Tunisia dan EU.
“Kami sangat gembira kerana melalui perjanjian ini, diharap boleh menangani krisis penghijrahan secara bersepadu,” katanya.
Meloni berkata, persidangan antarabangsa mengenai penghijrahan, akan diadakan Ahad depan di Rom membabitkan beberapa ketua negara, termasuk Presiden Tunisia, Kais Saied.
Itali turut bergelut dengan peningkatan mendadak kemasukan bot membawa pendatang sejak kebelakangan ini.
Berdasarkan data rasmi, kira-kira 75,065 pendatang tiba ke Itali sehingga 14 Julai lalu, berbanding 31,920 dalam tempoh sama tahun lepas.
Lebih separuh daripadanya dari Tunisia, mengatasi Libya.
Terdahulu, awal bulan ini, Saied berkata, negaranya tidak akan menjadi pengawal sempadan bagi Eropah. – REUTERS